Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Terjemahan PAS hari ini memecat pengarah urusan akhbar rasmi parti itu Harakah, Datuk Hishammuddin Yahya berkuata serta-merta.

Memo yang diedarkan kepada semua kakitangan memaklumkan bahawa perkhidmatan Hishamuddin telah ditamatkan dan kini diambil oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar mulai hari ini.

Memo bertarikh hari ini itu ditandatangani oleh Pengerusi Harakah, Datuk Mustapha Ali yang mengesahkan mengeluarkan memo tersebut. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sebab tindakan itu diambil.

Ketika dihubungi, beliau berkata, satu kenyataan rasmi mungkin dibuat apabila perkara tersebut dirujuk kepada jawatankuasa pusat PAS.

Sumber-sumber dalaman parti mendakwa, tindakan drastik memecat Hishammuddin itu diambil apabila keengganan beliau meletak jawatan walaupun sudah berkali-kali diminta berbuat demikian.

"Pihak parti telah mengadakan beberapa pertemuan sejak penyusunan semula Harakah. Selepas menilai prestasinya, mereka merasakan, sudah sampai masanya beliau berundur. Satu delegasi pemimpin menemui beliau sekali lagi tengahari ini dan memintanya supaya meletakkan jawatan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Hishammuddin enggan berbuat demikian dan berikutan itu memo tersebut terpaksa dikeluarkan.

Suasana lebih baik

Seorang kakitangan Harakah mendakwa penilaian prestasi Hishammuddin dibuat ekoran pelbagai aduan yang diterima berhubung caranya menguruskan syarikat sejak beberapa tahun lalu.

"Kakitangan di sini menghadapi masalah berhubung pengurusan kewangannya yang membuat sukar bagi kami terutama di bahagian editorial untuk menjalankan tugas," katanya yang tidak namanya disebut.

Juga didakwa sikap tidak senang Hishamuddin terhadap Zulkifli Sulong editor Harakahdaily (versi online) juga antara sebab perkhidmatannya ditamatkan.

"Malah beliau mengugut tidak akan membayar gaji mereka yang menyumbang kepada versi online. Ini telah menimbul kemarahan. Kerana itulah kami menerima berita penamatan perkhidmatan beliau dengan tangan terbuka. Diharap pengarah baru nanti akan membawa perubahan yang positif kepada suasana kerja di sini," katanya.

Mustapha bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan tersebut.

Sementara itu, Kamaruddin berkata tiada wujud sebarang kontroversi berhubung tindakan menamatkan perkhidmatan Hishammuddin.

Sebaliknya, katanya, ia adalah sebahagian daripada perubahan dalam Harakah yang bermula dengan perlantikan Ahmad Lutfi Othman menggantikan Suhaimi Mokhtar yang meletakkan jawatan Januari lalu.

"Ia merupakan satu perubahan biasa yang dibuat oleh parti. Saya tidak fikir ianya ada kena mengena dengan prestasi sesiapa," katanya.

Usaha untuk menghubungi Hishamuddin tidak berjaya. Berita asal

ADS