Kartun didakwa hina Nabi: PAS buat laporan polis terhadap NST
Pemuda PAS Pusat membuat laporan polis terhadap akhbar New Straits Times hari ini kerana menyiarkan kartun yang didakwanya mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w semalam.
Pemuda PAS Pusat membuat laporan polis terhadap akhbar New Straits Times hari ini kerana menyiarkan kartun yang didakwanya mempersendakan Nabi Muhammad s.a.w semalam.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub di Balai Polis Dang Wangi, Jalan Stadium Kuala Lumpur kira-kira jam 3 petang tadi. Beliau diiringi Timbalannya, Idris Ahmad dan Naib Ketua,nya, Mazlan Aliman.
Ketika dihubungi, Salahuddin berkata, pihaknya memandang berat penyiaran kartun tersebut kerana ia menyinggung perasaan umat Islam.
Katanya, penyiaran kartun itu akan memanjangkan isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
"Saya sangat kesal kerana ia berlaku di negara kita sendiri kerana sepatutnya ia belajar dari kebiadapan akhbar-akhbar Barat," katanya lagi.
Kartun yang disiarkan oleh akhbar NST itu menunjukkan seorang pelukis jalanan menawarkan perkhidmatan untuk melukis karikatur Nabi Muhammad s.a.w.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pihaknya mahu pihak polis menjalankan siasatan segera ke atas akhbar NST yang menyiarkan kartun tersebut.
'Menghina Nabi'
Beliau berkata, pihaknya memantau isu tersebut setiap hari dan akan mengambil tindakan susulan jika ia masih berterusan.
Sementara itu,
Harakahdaily
memetik Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa sebagai berkata, PAS kesal dengan tindakan akhbar NST keluaran 20 Februari yang menyiarkan satu kartun yang boleh disifatkan sebagai menghina Nabi.
"PAS memberi amaran keras kepada NST yang menerbitkan kartun pada halaman L8 segmen Life & Times semalam. Kartun tersebut mempunyai unsur menghina Nabi Muhammad s.a.w," kata Nasharudin dalam satua kenyataan.
Nasharudin berpendapat, kartun yang disiarkan oleh NST itu mempunyai unsur penghinaan dan sengaja dibangkitkan dalam suasana protes umat Islam seluruh dunia yang semakin membara sekarang.
Katanya, PAS bersama-sama dengan gerakan Islam seluruh dunia akan menjadikan 3 Mac 2006 sebagai hari protes antarabangsa terhadap karikatur yang menghina Rasulullah yang disiarkan oleh sebuah akhbar Jerman dan diikuti oleh media barat lain.
"Saya telah dihubungi oleh Qadhi Hussein, Amir Jamiat Islami Pakistan bagi memaklumkan perkara itu. Protes ini dicadangkan oleh Jamiat Islami dan saya mewakili PAS menyokong cadangan ini,"katanya.
Lagi laporan polis
Sementara itu, Majlis Pemuafakatan Angkatan Badan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (Mapan) turut membuat laporan polis terhadap akhbar NST kerana menganggap tindakan menyiarkan kartun tersebut sebagai perbuatan biadap dan perlu dihentikan segera manakala individu yang bertanggungjawab, perlu dihukum.
Pemangku Pengerusi Mapan, Datuk Dr Ma'amor Osman berkata, tindakan akhbar itu tidak menghormati keluhuran perlembagaan di mana Islam diiktiraf agama rasmi dan menjadi kesalahan besar menghina agama Islam.
Mapan juga, katanya, menganggap perbuatan menyiarkan kartun tersebut sebagai tidak mengendahkan teguran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung isu tersebut.
Oleh itu, Dr Ma'amor menyarankan tindakan tegas diambil mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau dikenakan tindakan polis kerana bersifat provokasi dan menimbulkan keresahan antara agama.
Katanya, Mapan berharap kerajaan mengeluarkan satu garispanduan yang tegas berkaitan isu tersebut dan tindakan perlu dikenakan ke atas individu terbabit kerana telah menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.