Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Macam-macam ragam Pemilu Indonesia
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 8:16 AM
Dikemaskini: 12:16 AM

Hari ini, rakyat Indonesia akan keluar mengundi untuk memilih presiden secara langsung, ahli lembaga legislatif di peringkat nasional dan daerah-daerah yang akan mewakili mereka lima tahun hadapan.

Pemilu kali ini merupakan pilihan raya terbesar di dunia yang dilakukan selama satu hari. Ini juga kali pertama pemilihan presiden dan wakil legislatif dilakukan secara serentak.

Ini menimbulkan cabaran tersendiri bagi Komisi Pemilihan Umum (KPU) sebagai penyelenggara, Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) yang memiliki wewenang mengawasi pemilu, dan petugas-petugas mereka yang bekerja dari peringkat nasional sampai ke Tempat Pemungutan Suara (TPS).

Selain kedua-dua badan penting tersebut, banyak lagi badan lain yang bertanggungjawab di dalam kelancaran pemilu, termasuk polis, mahkamah dan mahkamah konstitusi yang akan mengadili dan memutuskan setiap sengketa yang berlaku selama proses pemilu.

Untuk pemilihan wakil legislatif, Indonesia mengikut sistem proporsional terbuka, di mana setiap calon tidak hanya bersaing dengan calon dari parti lawan, tetapi juga mesti bersaing dengan sesama calon dari partinya sendiri untuk perebutan empat buah kerusi dalam satu kawasan konstituensi.

Dengan demikian, cabaran pemilu tidak hanya dialami oleh pihak penyelenggara, tetapi juga oleh para calon yang mesti bersaing dengan puluhan calon lain untuk merebut empat kerusi sahaja. Pengundi juga memiliki cabaran tersendiri, di mana mereka mesti memilih satu calon sahaja daripada puluhan nama calon di atas kertas undi. Setiap pengundi akan mendapatkan lima kertas undi dengan warna yang berbeza.

Setiap pengundi di perantauan juga tidak perlu pulang ke kampung halaman untuk melaksanakan kewajibannya. Mereka boleh mengundi di kawasan tempat mereka tinggal dengan memberitahu petugas di sana terlebih dahulu sebelum hari mengundi.

Pesta demokrasi

Di sebalik sistem pilihan raya yang rumit dan kegaduhan politik yang ditimbulkan sepanjang masa kempen selama lebih enam bulan ini, kita juga boleh melihat pemilu Indonesia dari sisi yang lain.

Semenjak Orde Baru di bawah kepimpinan Suharto, pemilu dikenal sebagai pesta demokrasi. Istilah ini merupakan sebuah ironi bagi demokrasi kerana memiliki kecenderungan untuk meraikan kemenangan yang sudah pasti bagi parti pemerintah, Golongan Karya (Golkar), sehingga pemilu dianggap sebagai formaliti sahaja.

Lagi pula, pada masa ketika setiap lima orang yang berkumpul mesti mendapatkan permit, maka sepanjang tempoh berkempen adalah masa di mana rakyat bebas berhimpun dan mengekspresikan aspirasi mereka. 

Masyarakat Indonesia memiliki rasa kekitaan yang kuat dan selalu memerlukan komuniti untuk mengekspresikan perasaan mereka. Siapa yang pernah berada di negara tersebut menjelang peringatan hari kemerdekaan tentu dapat merasakan suasana bagaimana komuniti kejiranan bersemangat meraikan dengan pelbagai macam aktiviti yang meriah untuk memperingati hari bersejarah tersebut. Sebagai sebuah peristiwa penting, pilihan raya di negara itu kini selalu diraikan seperti sebuah pesta.

Semenjak reformasi, terutama semenjak tahun 2004 di mana presiden, gabenor dan datuk bandar dipilih secara langsung melalui pemilihan presiden (pilpres) dan pemilihan kepala daerah (pilkada), pemilu menjadi seperti hari untuk pesta demokrasi dalam makna sebenarnya. 

Mereka memang berpesta. Hari mengundi tidak lagi dilihat sebagai peristiwa politik semata, tetapi juga merupakan sebuah peristiwa budaya. Masyarakat tidak hanya berpartisipasi sebagai pengundi, tetapi juga menjadi pihak aktif yang mempersiapkan event tersebut. Pemilu merupakan sebuah aktiviti komuniti.

Situasi ini yang kita tidak lihat berlaku di dalam pilihan raya di Malaysia, di mana SPR jarang sekali melibatkan masyarakat awam di sekitar tempat pembuangan undi. Tempat pengundian biasanya di sekolah-sekolah berpagar, di mana hanya yang mahu mengundi dibenarkan masuk. Setelah selesai, pengundi mesti keluar dan tidak diharapkan untuk terlibat di dalam proses seterusnya.

Di Indonesia, tempat membuang undi atau TPS tidak mesti di tempat yang tertutup. Di kawasan yang padat penduduk, biasanya dilakukan di tanah lapang atau di lorong jalan. Cukup hanya dengan memasang tenda dan meletakkan kerusi. Walau bagaimanapun, setiap komuniti masyarakat akan bersaing untuk menunjukkan bahawa tempat pembuangan undi atau TPS mereka lebih meriah dan unik berbanding TPS lain. Mereka menggayakan dan menghias TPS mereka dengan pelbagai tema menarik.

Dalam pilkada serentak tahun 2018, ada TPS yang menggunakan tema Piala Dunia dan Asian Games kerana masanya berdekatan dengan acara sukan tersebut. Ada juga yang mengusung tema perkahwinan, di mana TPS dihias seperti rumah yang sedang melaksanakan majlis perkahwinan. Para petugas berpakaian adat masyarakat setempat seolah-olah sebagai penyambut tamu dan bersalaman dengan setiap pengundi. Dalam satu TPS yang bertemakan sekolah, semua petugas pemilu memakai seragam sekolah rendah berseluar pendek. Bahkan ada yang menggunakan tema seram, di mana setiap petugas pilihan raya memakai kostum hantu seperti pocong, pontianak, toyol, langsuir, dan drakula. Ada juga TPS mengadakan cabutan bertuah.

Hari ini akan banyak dijumpai TPS dengan pelbagai tema seperti itu di seluruh Indonesia. Semua ini dilakukan untuk menarik pengundi datang ke TPS dan menghibur mereka supaya tidak bosan ketika beratur dan menunggu hasil kiraan undi. Bahkan salah satu televisyen mengadakan pertandingan TPS paling unik untuk pemilu ini.

Mengawal Pemilu

Ketika Jokowi dan Prabowo dalam kempen yang lalu berkali-kali mengajak seluruh rakyat Indonesia datang ke TPS, secara tersirat mereka tidak hanya meminta rakyat untuk datang mengundi mereka pada hari tersebut, tetapi juga tetap tinggal untuk memeriahkan dan mengawasi secara langsung seluruh proses pengundian. Bahkan Prabowo mengimbau kepada penyokongnya untuk membuat dapur awam di setiap TPS.

Memang masyarakat akan menunggu sampai semua proses di TPS selesai kerana mereka boleh menyaksikan dari dekat proses kiraan undi. Hasil undi rasmi di setiap TPS yang tertera di dalam borang hasil undi akan diperagakan untuk umum. Masyarakat bebas untuk mengambil gambar menggunakan telefon pintar sebagai bukti. Jadi, masyarakat terlibat secara langsung dalam proses pengawasan sehingga mengurangi kecurangan. KPU sendiri memang mengalu-alukan penglibatan langsung pengundi di TPS sampai proses kiraan selesai.

Pada pilpres tahun 2014, beberapa pelajar Indonesia di luar negara melakukan inisiatif membuat sebuah laman sesawang kawal pemilu yang membolehkan setiap orang untuk memuat naik hasil undi di setiap TPS. Dengan demikan, hasil pemilu boleh diketahui dengan segera, dan hasilnya hampir sama dengan kiraan undi oleh KPU yang mengambil masa sebulan untuk mengeluarkan keputusan rasmi. 

Kawal Pemilu dan beberapa inisiatif serupa menggunakan aplikasi telefon pintar yang diperkenalkan oleh KPU, Bawaslu, dan NGO-NGO pemantau pemilu menjadikan masyarakat terlibat aktif dalam pemantauan dan mendapat maklumat yang cepat. Kiraan cepat (quick count) yang dilakukan oleh beberapa lembaga bermula pukul tiga petang dan disiarkan setiap masa di televisyen juga dapat memberikan gambaran hasil akhir pemilu.


MUHAMMAD FEBRIANSYAH ialah pensyarah sains politik di USM dan salah seorang penyelidik mengenai pemantauan pilihan raya di Malaysia, Indonesia dan Filipina di bawah geran penyelidikan GUP-2018-161.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS