Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 bulan lagi PH tunai manifesto? Tak mungkin, kata Zaid
Diterbitkan:  Apr 17, 2019 4:59 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim meluahkan keraguan terhadap kenyataan Daim Zainuddin bahawa Pakatan Harapan (PH) memerlukan masa enam bulan lagi untuk memulihkan semula negara.

"Enam bulan untuk tunai manifesto? Tak mungkin. PH ni sebenarnya takut kepada pembuli.

"Jadi kamu takkan adakan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis), kerajaan dari rakyat, mansuh undang-undang keselamatan, memperbaiki pendidikan tinggi dan sebagainya.

"Apa yang kamu dapat lebih banyak aset terjual," tulisnya di Twitter tengah hari tadi bagi mengulas kenyataan Daim, yang juga bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.

Terdahulu, Zaid menyindir kerajaan susulan kekalahan sebanyak tiga kali berturut-turut pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Cameron Highlands dan yang terbaru di Rantau Sabtu lepas.

"Walaupun kalah 3-0, PH tidak salah, kecuali mereka sombong.

"Gaduh dengan sesiapa saja berbanding guna pendekatan berdamai. Ejek orang Melayu dan harapkan sokongan mereka. 

"Gelar orang pencuri seolah-olah mereka sendiri tidak mencuri,” katanya.

Untuk rekod Zaid sebelum PRU14 gigih berkempen untuk kemenangan PH namun kini dilihat menjadi pengkritik kerajaan.

Isnin lalu, Daim menjelaskan susulan kekalahan di Rantau, kerajaan memerlukan masa enam bulan lagi untuk membaiki kerosakan dilakukan oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Saya rasa kerajaan perlu tempoh masa enam bulan lagi untuk membetulkan keadaan bukan sahaja tumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi pelbagai isu. Ini rakyat perlu faham,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata rancangan transformasi kerajaan terjejas akibat masalah kewangan.

"Kami tidak mempunyai wang, wang telah dicuri, itulah masalah kami. Jika mahu melakukan apa-apa, wang tidak tersedia," katanya.

Mahathir juga mengakui kekalahan PH disebabkan parti kerajaan jarang mendapat sokongan dalam mana-mana PRK kerana keputusannya tidak akan mengubah status kerajaan sedia ada.

Lihat Komen
ADS