Malaysiakini BERITA

Kerana rugi, Kelantan hentikan operasi PMBK Sawit

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Beroperasi sejak 2006, sebuah syarikat kerajaan Kelantan di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menghentikan operasinya mulai akhir bulan ini.

Menurut sumber, PMBK Sawit Sdn Bhd (PMBK Sawit) ditutup susulan kegagalan syarikat itu menampung kos operasi di samping menanggung kerugian sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, PMBK Sawit disedari mengalami masalah sejak awal namun tiada tindakan drastik diambil untuk menyelesaikan isu yang timbul.

"Sebagai bekas pekerja, saya secara langsung mengetahui perjalanan pengurusan syarikat.

"Kalau tindakan awal diambil untuk selamatkan syarikat, saya yakin ia boleh terus beroperasi. Namun, semuanya sudah terlambat," katanya kepada Malaysiakini.

Sebagai rekod, PMBK Sawit adalah sebuah syarikat perladangan kelapa sawit dan getah yang mempunyai sejumlah ladang di beberapa daerah di Kelantan.

Antaranya di Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Kegagalan sukar ditangani

Sumber yang enggan didedahkan namanya itu menambah sebelum ini PMBK Sawit mempunyai cadangan untuk menanam pokok-pokok baru.

Malah katanya difaham sumber kewangan juga sudah diluluskan melalui satu pimjaman bank.

Namun kata bekas pekerja itu perkara berkenaan tidak diteruskan sehingga hari ini.

"Apa yang berlaku di PMBK Sawit agak rumit dijelaskan kerana banyak hal akan berkait.

"Mungkin juga turut berkait dengan unsur-unsur politik antara pemimpin lama dan semasa dalam kerajaan negeri," katanya.

Sebelum ini Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan syarikat tersebut terpaksa ditutup kerana menanggung kerugian berterusan.

Menurut Mohd Amar, langkah itu terpaksa diambil susulan kegagalan pengurusan yang sukar untuk ditangani.

"Ia berlaku sejak zaman almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz lagi. Namun masalah itu berulang dan terus berulang.

“Jadi kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah untuk menutup operasinya," katanya.

Sementara itu, harakahdaily melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK, Abdul Rashid Mohd Yusoff sebagai berkata, antara faktor operasi PMBK Sawit dihentikan kerana nilai pasaran harga sawit dan tunggakan hutang dengan institusi perbankan.

"Pekerja kita bagi pampasan ikut skim perkhidmatan mereka, kita ambil keputusan untuk hentikan operasi, bukan tutup PMBK Sawit.

"Keputusan itu dibuat Lembaga Pengarah PMBK kerana kita hendak bayar duit pinjaman bank,” katanya dipetik sebagai berkata.

Laporan itu juga menyebut, seramai 30 kakitangan PMBK Sawit mendapat skim pemisahan sukarela (VSS) ekoran pemberhentian operasi agensi itu selepas diberi notis selama tiga bulan.