Keputusan mengenai punca virus avian influenza H5N1 yang ditemui di Batu 4 1/2 Jalan Genting Kelang akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi, kata Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan Selangor Datuk Dr Aziz Jamaluddin.

Beliau berkata ia termasuk keputusan tentang jenis virus avian influenza berkenaan, yang kini sedang dikaji oleh Institut Penyelidikan Haiwan di Ipoh, Perak.

"Kita perlu pastikan bentuk atau corak virus itu sama ada ia sama dengan virus yang pernah melanda Kelantan, Indonesia, Vietnam atau Thailand bagi mencari dari mana punca virus itu," katanya kepada pemberita dalam operasi menangkap ayam, itik dan unggas di Setapak, dekat ibunegara.

Beliau berkata pihaknya mempunyai contoh virus berkenaan untuk dijadikan perbandingan dan kajian pengesahan itu akan turut dijalankan bersama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut laporan Bernama, Isnin lalu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kematian 40 ekor ayam kampung di Jalan Genting Kelang sebagai terpencil dan orang ramai tidak perlu panik.

Dr Aziz juga menyatakan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana virus itu mudah dimusnahkan.

"Virus itu tidak dapat hidup di dalam hos, iaitu ayam atau itik yang sudah digoreng, dimasak mahupun dipanggang. Kesimpulannya makanan perlu dimasak dalam suhu lebih daripada 80 darjah celsius bagi memastikan virus avian influenza itu mati," kata Dr Aziz.

Mengenai operasi menangkap ayam, Dr Aziz berkata operasi yang bermula pukul 11 Selasa malam melibatkan 80 anggota Jabatan Perkhidmatan Haiwan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang merangkumi kawasan Taman Danau Kota, Pekan Danau Kota dan Kampung Pasir Wardieburn di kawasan Setapak.

Beliau berkata pemantauan terhadap virus itu dijalankan di sekitar kawasan berkenaan dalam lingkungan 10 kilometer radius bagi mengesan mana-mana ayam, itik dan unggas untuk dilupuskan.

Dr Aziz berkata kawasan terbabit akan dipantau selama 21 hari selepas tiada lagi jangkitan virus berkenaan dan tempoh tiga bulan diberikan sebelum penduduk di kawasan terlibat boleh memelihara semula ternakan.

"Kami akan memantau dengan menghantar pegawai memeriksa setiap inci di kawasan ini setiap hari," katanya.