Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wisma Putra serah nota bantahan pada Duta AS
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 2:46 PM
Dikemaskini: 6:46 AM

Kementerian Luar memanggil Duta Amerika Syarikat dan menyerahkan nota bantahan selepas Malaysia dimasukkan dalam senarai "Indikator K" nasihat perjalanan oleh Jabatan Negara AS.

"Pemangku ketua setiausaha Kementerian Luar Raja Nushirwan Zainal Abidin menyambut kehadiran Duta AS Kamala Shirin Lakhdhir dan menyerahkan nota bantahan menyatakan penentangan kerajaan terhadap keputusan AS tersebut yang tidak mencerminkan kenyataan yang sebenar di negara ini, khususnya keadaan keselamatan yang semakin baik di timur Sabah," kata kenyataan WIsma Putra hari ini.

Indikator yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 9 April lalu menunjukkan kebimbangan kerajaan AS terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Indikator itu dikhuatiri akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelancong dan pelabur yang mementingkan kestabilan dan keselamatan dalam melabur di sesebuah negara.

Bagaimanapun, Wisma Putra berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa sangat bermanfaat sekiranya kerajaan Malaysia diberitahu sebelum pengumuman sebegitu dibuat.

"Pada tahun sebelumnya, Malaysia pada keseluruhannya berada dalam senarai Tier 1, yang diperuntukkan untuk negara-negara yang selamat dan berisiko rendah. 

"Bagaimanapun, dijelaskan kawasan timur Sabah berada dalam senarai "Indikator K" disebabkan kebimbangan AS berhubung kejadian penculikan dan tebusan.

"Pada nasihat perjalanan terdahulu, kawasan tersebut berada di bawah petunjuk "C" (jenayah) dan "T" (keganasan) yang sangat luas taksirannya. Timur Sabah tidak lagi berada di bawah dua indikator ini," kata kenyataan itu.

Wisma Putra juga menegaskan keselamatan dan keamanan pelancong di seluruh Malaysia, termasuk di timur Sabah akan terus menjadi keutamaan.

"Malaysia telah mengambil langkag proaktif bagi memastikan keselamatan di timur Sabah. Ini dapat dilihat dengan menurunnya kes-kes penculikan sehingga hampir tiada pada tahun lalu.

"Duta AS mengambil maklum bantahan dan keprihatinan kerajaan Malaysia serta akan menyamapaikannya ke pihak di Washington.

"Perlu diingatkan Malaysia terus menjadi tarikan pelancong AS dan tahun 2018 merekodkan peningkatan ketibaan pelancong dari AS sebanyak 27.9 peratus, berjumlah 253,384 orang," jelas kenyataan itu lagi.

Lihat Komen
ADS