Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Pengganti Malanjum dipastikan Muslim
Diterbitkan:  Apr 18, 2019 3:43 PM
Dikemaskini: Apr 19, 2019 12:29 AM

Sumber yang rapat dengan perdana menteri mendakwa calon yang akan mengisi kekosongan jawatan ketua hakim negara yang ditinggalkan Richard Malanjum adalah seorang Muslim.

“Tak mungkin ketua hakim negara yang baru nanti bukan Muslim,” katanya seperti dipetik akhbar Singapura, The Straits Times hari ini.

Bagaimanapun sumber tersebut tidak mendedahkan identiti calon bagi menggantikan Malanjum.

Kata beberapa sumber lain, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sudah menghantar nama calon bagi menggantikan Malanjum sejak awal bulan lalu tetapi masih tidak mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Satu lagi sumber memberitahu, kata sepakat mungkin sukar dicapai dalam Majlis Raja-raja memandangkan wujudnya amalan berpuak dalam majlis tersebut sejak peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agung pada Januari lalu.

“Macam ada wujud kem-kem tertentu dalam kalangan raja-raja, jadi makin susah untuk mencapai kata sepakat untuk mengisi jawatan penting seperti Ketua Hakim,” kata sumber itu lagi.

Khamis lalu, Mahathir memberitahu pemberita bahawa beliau sudah mempunyai calon bagi menggantikan Malanjum tetapi tidak mendedahkan sebarang nama.

Ada lagi bersara

Malanjum dilantik memegang jawatan sebagai hakim tertinggi negara pada 11 Julai tahun lalu dan adalah ketua hakim negara pertama yang bukan dari Semenanjung Malaysia.

Beliau juga tokoh pertama yang dilantik ke jawatan itu dalam kalangan bukan beragama Islam.

Keputusan PH memilih Malanjum sebaliknya meletakkan kerajaan sebagai sasaran kritikan pembangkang.

Malanjum bersara pada Jumaat lalu selepas mencapai umur persaraan mandatori iaitu 66 tahun dan enam bulan.

Selain Malanjum, dua daripada empat hakim kanan juga akan bersara wajib tidak lama lagi.

Mereka termasuk Hakim Besar Malaya Zaharah Ibrahim dan Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Ma'arop, yang masing-masing dijadualkan bersara wajib pada bulan Mei dan November.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong Dak Wah adalah yang paling muda dan khidmatnya berakhir sehingga Februari tahun depan.

Lihat Komen
ADS