Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis dah setuju bentuk pasukan khas cari anak Indira, kata NGO

Selepas 10 tahun gagal mencari anak bongsu Indira Gandhi, akhirnya polis dikatakan berjanji menubuhkan pasukan khas untuk pencarian Prasana Diksa dan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah.

"Kami diberitahu oleh polis bahawa akan tubuh pasukan khas untuk mencari Prasana yang kini diklasifikasi sebagai 'hilang'.

"Keutamaan kami adalah mengesan Prasana sahaja.

“Kami tidak risau atau bimbang isu-isu lain," kata ketua Kumpulan Indira Gandhi Action Team (Ingat) Arun Dorasamy kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sebelum memberikan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkaitan isu sama di Putrajaya, petang tadi.

Arun berkata mereka mendapat maklumat itu setelah berjumpa dengan Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, di ibu pejabat polis, Bukit Aman, hari ini.

Menurut Arun pasukan khas itu akan diketuai oleh seorang bekas anggota polis berpangkat DSP.

Indira yang juga seorang bekas cikgu tadika turut hadir ke pertemuan bersama ketua polis.

Ingat merupakan kumpulan yang ditubuhkan khas dalam usaha mencari Prasana yang didakwa disembunyikan oleh bekas suami Indira.

Muhammad Riduan meninggalkan rumah bersama Prasana pada 2009, ketika anaknya itu berusia 11 bulan.

Prasana kini berusia 11 tahun.

Sementara itu, Arun memberitahu pihak polis masih tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai keberadaan Prasana.

"Semasa pertemuan dengan IGP kami bertanya empat soalan. Antaranya, adakah Prasana masih hidup?

“Apakah kemungkinan dokumen-dokumen identiti beliau ditukar? Beliau masih di negara ini? Atau disembunyikan di negara jiran lain?” katanya.

Katanya, kebanyakan soalan mereka dijawab oleh polis sebagai tidak tahu dan tidak pasti.

Arun berkata beliau bersama Indira turut melawat Suhakam untuk memberi laporan ekoran kegagalan polis membawa balik Prasana ke pangkuan ibunya.

"Selang hari ini, sudah 3,669 hari, Indira tidak berjumpa dengan anaknya. Walaupun mahkamah membuat keputusan berpihak kepada ibu, masih tiada tindakan," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan pengesahan dan butiran lanjut berkaitan kenyataan itu daripada pihak polis.

Hampir 10 tahun berlalu sejak Ridhuan membawa lari Prasana setelah menukar agama tiga anaknya kepada Islam tanpa persetujuan isterinya, ketika pada tahun 2009.

Riduan dan Indira kemudian terus menggunakan saluran undang-undang termasuk melibatkan kedua-dua mahkamah syariah dan sivil dalam rebutan itu.

Pada tahun 2014, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Riduan, tetapi hingga hari ini polis masih belum menemuinya.

Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan sebulat suara mengisytiharkan penukaran agama secara satu pihak adalah menyalahi undang-undang.

Lihat Komen
ADS