Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar masih tunggu laporan lengkap post-mortem PRK Rantau

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata beliau belum menerima laporan lengkap post-mortem pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau termasuk dakwaan unsur sabotaj oleh anggota parti pada pemilihan yang berlangsung 13 April lepas.

“Setakat ini hanya ada laporan awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bumi Sedunia peringkat DUN Bagan Pinang yang disambut serentak dengan Hari Ladang Pejabat Pertanian Port Dickson di Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Katanya, laporan itu akan disediakan oleh Pengarah PRK DUN Rantau yang juga Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Pada 13 April lepas, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan PKR Negeri Sembilan dilaporkan berkata siasatan akan dijalankan jika ada laporan mengenai dakwaan unsur sabotaj yang menyebabkan kekalahan PH pada PRK berkenaan.

Pada PRK itu, Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden Umno mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat, menewaskan tiga pencabarnya termasuk Dr S. Streram yang mewakili PH dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menang dengan majoriti 4,510 undi.

Sementara itu, Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson berkata selain menumpukan pada potensi pelancongan, Port Dickson juga akan dimajukan sebagai kawasan pertanian dan perikanan.

Beliau melihat Port Dickson sesuai dijadikan hab pengeluaran kelapa yang kini mendapat pemintaan tinggi dari dalam dan luar negara.

“Penduduk di sini boleh mendapatkan benih daripada Jabatan Pertanian dan saya melihat ini mampu memberi pendapatan tambahan kepada penduduk.

“Selain itu, kita akan membesarkan projek perikanan di Sungai Linggi dan menteri besar sudah bersetuju kerana ini melibatkan pendapatan kepada nelayan, petani dan juga orang kampung,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan larian I-Run Port Dickson di Dataran Telok Kemang di sini yang disertai kira-kira 500 peserta.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS