Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KADA teroka potensi halia bara sebagai tanaman kedua selepas padi

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sedang meneroka potensi halia bara sebagai tanaman kedua selepas padi dalam usaha meningkatkan pendapatan petani di kawasan kelolaannya.

Pengerusi KADA, Husam Musa berkata projek rintis tanaman itu akan dijalankan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Puri.

“Halia bara dapat diolah sebagai satu produk hiliran dan pada hari ini sudah ada satu syarikat yang menandatangani aku janji perjanjian untuk memasarkan produk tanaman ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pelancaran Projek Penanaman dan Pembahagian Peralatan Tanaman Halia Bara di PPK Tanjung Puri, di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PPK Tanjung Puri, Ismail Mat@Mamat.

Projek yang dilaksanakan menerusi konsep ‘Satu PPK Satu Produk’ berkenaan melibatkan 263 peserta.

Sementara itu, Ismail berkata halia bara diketahui umum sebagai tanaman yang mempunyai khasiat untuk kesihatan dan perubatan.

“Setiap peserta menerima 10 polibeg benih halia bara yang akan mengambil masa lapan bulan untuk membuahkan hasil.

“Satu polibeg boleh menghasilkan satu hingga lima kilogram halia bara dan setiap kilogram pula berharga RM20 hingga RM30,” katanya.

Menurutnya, PPK itu merancang untuk memastikan peserta terbabit menambah lima polibeg setiap bulan sehingga penghujung tahun ini.


-- Bernama

Lihat Komen
ADS