Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

LANGSUNG | Perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Najib Razak dan dana RM42 juta memasuki hari keenam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk menyelewengkan dana yang berkaitan dengan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ia adalah sebahagian daripada puluhan tuduhan yang dikenakan ke atas ahli politik berusia 65 tahun itu selepas BN - buat pertama kali - gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk menjadi kerajaan pusat serta kebanyakan negeri pada 9 Mei 2018.

Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan tersebut hari ini.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 

LANGSUNG

5.10 petang: Hakim Nazlan membenarkan permohonan pembelaan untuk prosiding disambung pada jam 12 tengah hari esok.

Peguam bekas perdana menteri, Harvinderjit berkata Shafee mempunyai urusan di Mahkamah Rayuan esok dan permohonannya boleh mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam.

"Kami menjangkakan penghujahan mungkin berlangsung selama dua jam di Mahkamah Rayuan.

"Kami tidak mahu mengatakan bahawa kami akan berada di sini (Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) pada jam 11 pagi dan kemudian kami tidak berada di sini," kata Harvinderjit.

DPP Sithambaram tidak menimbulkan bantahan terhadap permohonan itu.

Prosiding hari ini kemudian berakhir.

Difahamkan pendengaran di Mahkamah Rayuan esok berhubung dengan permohonan pasukan pembelaan untuk membatalkan Gopal Sri Ram daripada menjadi sebahagian daripada pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB Najib.

4.30 petang : Saksi pendakwaan ke-12, Manisah Othman, berusia 55 tahun, mengakui keluarganya menerima dua cek pada 2013, tahun suaminya meninggal dunia dan pada 2014 daripada Najib Razak.

Suaminya merupakan bekas kakitangan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menjawab soalan dari peguam bela Shafee Abdullah, dia bersetuju bahawa dia telah menerima bantuan dari Najib kira-kira RM9,000 pada tahun 2013.

Dia berkata menerima cek berjumlah RM29,520 pada tahun berikutnya.

Menurut Manisah, semua bantuan itu diberikan kepadanya melalui rakan suaminya yang dikenalpasti sebagai bernama Khairul, dan digunakan semata-mata untuk membayar yuran universiti untuk dua anak lelaki yang kini berusia 23 dan 27 tahun.

Kedua-dua anaknya masih belum menyelesaikan pelajaran kerana anak bongsunya menderita penyakit buah pinggang, sementara saudaranya juga membantu dalam rawatan dan akan mendermakan salah satu daripada buah pinggangnya.

Manisah yang memberi keterangan berkata Najib telah berjanji kepada arwah suaminya untuk menjaga yuran pengajian anak-anak mereka.

Manisah telah menerima cek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM52,320 daripada bekas perdana menteri.

Bagaimanapun, katanya tiada lagi cek dikeluarkan kepada keluarganya selepas 2015, dan dia percaya hal ini kerana Najib tidak tahu anak-anaknya belum menamatkan pengajian mereka dan dia tidak mempunyai akses langsung untuk menghubungi Najib.

4.15 petang: Saksi pendakwaan ke-12, Manisah Othman mengesahkan menerima cek daripada Najib Razak berjumlah RM13,800 atas namanya, bagi membantu pendidikan anak-anaknya.

Semasa pemeriksaan utama oleh DPP Saifuddin, dia memberi keterangan menerima cek itu setelah Najib melawat suaminya, yang dirawat di Hospital Prince Court.

Manisah berkata suaminya sebelum ini pernah bekerja di Boustead Holdings sebelum bertugas di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Menurut Manisah lagi, suaminya meninggal dunia pada 2013 sebulan selepas dirawat di was Hospital Prince Court.

"Datuk Seri (Najib) berjanji untuk menjaga pendidikan anak-anak kami," katanya, sambil menjelaskan cek itu diberikan kepadanya oleh rakan setugas suaminya di PMO yang bernama Khairul.

Minggu lalu , Manisah dinamakan dalam keterangan kakitangan Ambank Badrul Hisam Mohamad sebagai penerima cek yang dikeluarkan daripada akaun Ambank yang dikaitkan dengan kes Najib.

Transaksi yang disebut melibatkan cek AmIslamic berjumlah RM13,800, bertarikh 12 Februari, 2015.

3.40 petang: Saksi pendakwaan keempat Ahmad Farhan Sharifuddin, yang dulu menjadi pegawai penyiasat (IO) yang mengetuai serbuan Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas Ambank Raja Chulan pada 6 Julai 2015, memberi keterangan bahawa dua telefon pintar, 4 pemacu 'ibu jari' USB (Thumb Drives) dan 1 pemacu cakera keras 1 terrabyte disita dalam serbuan itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh Harvinderjit, Farhan berkata telefon Blackberry telah dirampas daripada Pengurus Perhubungan Ambank Joanna Yu dan Samsung Galaxy 4 telah dirampas daripada pegawai Krystle Yap.

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jika barangan tersebut mempunyai transkrip perbualan Yu dan pegawai bank lain dengan saksi lain kerana barang-barang tersebut telah diserahkan kepada pakar forensik Bank Negara yang melakukan siasatan forensik terhadap kandungannya.

Minggu lalu, Nazlan telah memberi pelepasan kepada Farhan untuk kembali ke mahkamah kemudian dan mengemukakan barangan yang disita dalam serbuan itu.

3.02 petang: Prosiding bersambung dengan hujahan peguam bela Najib, Harvinderjit di mahkamah.

Saksi ke-11 pendakwaan dijangka akan disoal balas oleh Harvinderjit.

2.54 petang: Prosiding masih belum bermula kerana peguam bela utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, masih terikat dengan perbicaraan lain di mahkamah berbeza.

Kira-kira 20 minit sebelumnya hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan seorang lagi peguam bela Najib, Muhammad Farhan Shafee untuk menangguhkan perbicaraan seketika sejurus sebelum ia bermula.

Sementara itu Najib pula dilihat duduk berehat menanti prosiding disambung.

Sebelum itu Mohd Nazlan sudah dua kali memasuki mahkamah masing-masing pada jam 2 petang dan 2.30 petang.

Pada kedua-dua ketika Mohd Nazlan diberitahu Muhammad Shafee masih belum selesai berurusan dengan mahkamah yang lagi satu.

12.25 tengah hari: Saksi ke-11 sahkan terima cek RM400,000

Saksi ke-11 Abdul Munir Osman mengesahkan menerima cek RM400,000 bagi pemegang amanah Rumah Penyayang Tun Abdul Razak pada 12 Feb, 2015.

Abdul Munir, yang merupakan salah seorang pemegang saham, membuat pengesahan itu ketika menjawab timbalan pendakwa raya Saifuddin.

"Saya menerima cek daripada Datuk Seri (Najib). Jika saya tak silap, daripada Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan," katanya.

Jelasnya, wang berkenaan digunakan antara lain, untuk penyelenggaraan Rumah Penyayang dan membayar gaji kakitangan.

Abdul Munir menambah bahawa Najib merupakan penaung Rumah Penyayang.

Sebelum ini, prosiding mendengar keterangan bahawa terdapat transaksi dari akaun Ambank yang dikaitkan dengan kes Najib, kepada akaun bank Rumah Penyayang Tun Abdul Razak di Pekan.

11.57 pagi: Saksi ke-10 pendakwaan Abu Talib Alias mencuit perhatian ramai apabila berkata: "Apa malu bosku" semasa mengambil giliran untuk memberi keterangan.

Najib Razak yang berada dalam kandang tertuduh juga tidak terkecuali daripada ketawa.

Sebelum itu Abu Talib - yang juga setiausaha Umno Johor Bahru - ditanya timbalan pendakwa raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, sama ada Najib berada dalam mahkamah hari ini dan meminta dia mengecam bekas perdana menteri itu.

11.30 pagi: Asmadi Abu Talib berkata sumbangan RM50,000 daripada Najib itu tidak menggambarkan kedudukan sebenar kewangan rasmi Umno Padang Serai.

Hal itu kerana, katanya, cek tersebut ditulis atas nama Asmadi dan bukan Umno bahagian.

Bagaimanapun kata Asmadi pengurusan Umno Padang Serai tahu kewujudan wang tersebut dan ia adalah untuk kegunaan program mereka.

Semasa pemeriksaan balas oleh Muhammad Shafee, Asmadi berkata sumbangan tersebut diberikan secara telus namun tidak memberi kesan kepada kewangan rasmi Umno Padang Serai kerana ia memerlukan proses audit dan pengesahan mesyuarat agung tahunan.

Katanya, memang menjadi amalan lazim untuk mana-mana bahagian Umno mendapat sumbangan dari ibu pejabat parti sejak Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden.

11 pagi: Perbicaraan bersambung selepas berehat seketika.

Pendakwaan memanggil saksi kesembilan, seorang bekas guru dan kini ketua Umno Padang Serai, Kedah, Asmadi Abu Talib.

Menurut Asmadi dia mula menjadi ketua bahagian pada 2013 dan menerima cek bernilai RM50,000 daripada Najib apabila mereka bertemu pada 2014.

Najib ketika itu ialah presiden Umno.

Menurut Asmadi dia meletak jawatan dalam perkhidmatan perguruan selepas dipilih menjadi calon BN untuk kerusi DUN Merbau Pulas di Kedah pada PRU tahun lalu.

Katanya dia bertemu Najib di pejabat tertuduh di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan itu kata Asmadi, dia bercakap mengenai pengalaman pertamanya sebagai ketua bahagian dan kekangan yang dihadapi termasuk kewangan.

Ditanya apa berlaku selepas itu Asmadi berkata Najib memberikan kata-kata semangat lalu menghulurkan sumbangan untuk membantu Umno dalam perancangannya.

TPP: Selepas Encik Asmadi menerima cek RM50,000 daripada Najib, apa yang Encik Asmadi buat?

Asmadi: Saya masukkan dalam akaun saya tuan.

TPP: Akaun ni di bank mana?

Asmadi: Maybank.

TPP: Cawangan mana?

Asmadi: Cawangan Kulim Hi-tech

Selepas membacakan nombor akaun bank itu Asmadi ditanya apa yang dilakukannya dengan wang daripada Najib itu.

Asmadi: Antara program yang saya bincang dengan kepimpinan bahagian, bendahari dan pemuda dan setiusaha.

Kami rancang program libatkan sekolah, kebajikan, dan perkara-pekara dipohon pihak NGO, dan pelbagai persatuan yang memohon kepada Umno untuk melancarkan program.

TPP: Maknanya ada pemohonan dibuat NGO dan sekolah?

Asmadi: Ada yang hantar surat permohonan, ada yang tak hantar, tapi segala program yang dipohon akan cuba selesaikan.

10.40 pagi: Kata Daud dua tangki air yang dibina di rumah Najib Razak di Pekan adalah keperluan dan bukan untuk bermewah-mewah.

Menjawab soalan balas Muhammad Shafee Abdullah, Daud berkata dia yang mencadangkan binaan tersebut untuk rumah Najib.

Shafee: (Kapasiti tangki) Boleh tampung (keperluan) berapa orang?

Daud: Dalam seribu orang.

Shafee: Encik Daud yang cadangkan berapa liter, bagaiamana pelan?

Daud: Ya, saya yang cadangkan.

Shafee: Dan bermesyuarat dengan Encik Zainuddin - Pengurus (rumah Seri Kenangan di Pekan)?

Daud: Ya.

Shafee: Selalu jumpa?

Daud: Tak selalu. Cuma bila perlu saja jumpa.

Shafee: Adakah ia (kerja pembaikan tangki) satu keperluan mendesak atau satu kemewahaan?

Daud: Keperluan mendesak.

Dia juga memberitahu kerja-kerja tersebut perlu dilakukan kerana tangki air yang lama sudah tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Ia dibaik pulih sebanyak empat kali tapi masih rosak," katanya yang memberitahu kemudahan tersebut boleh menempatkan 4,500 liter padu air.

Katanya antara yang menggunakan kemudahan tersebut ialah pengunjung program anak yatim.

Daud, 57, kemudian menamatkan keterangannya.

10.10 pagi: Saksi kelapan pendakwaan, Daud Mohd, dipanggil.

Daud ialah kontraktor yang memiliki mengendalikan syarikat Syadila Enterprise.

Daud memberitahu mahkamah dia menjalankan kerja-kerja pembinaan dan membaik pulih di rumah Najib Razak, Seri Kenangan, yang terletak di Pekan, Pahang, pada 2014.

Antara binaan yang dikendalikan syarikat itu ialah dua menara tangki air dengan masing-masing setinggi dua dan tiga tingkat.

Muhammad Shafee

Katanya menara satu daripada menara tangki air itu dibina berhampiran dapur rumah terbabit manakala yang kedua berdekatan bilik tidur Najib.

Katanya projek itu menelan belanja RM67,000 dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah dua lagi tugasan yang dilakukannya untuk Najib ialah menyelenggara rumah berkenaan melibatkan kerja-kerja membersih penyaman udara, pendawaian elektrik dan membaiki bumbung.

Untuk kontrak itu katanya dia mengenakan bayaran RM9,540.

Bagi kerja membaik pulih tombol pintu rumah itu dan dapur Daud mengenakan bayaran RM760.

Kata Daud semua invois berkenaan dikeluarkan atas nama Zainudin Abdul Aziz yang menguruskan Seri Kenangan.

Bayaran, katanya, semuanya diterima melalui cek.

10 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menegaskan tidak boleh mana-mana rakaman video prosiding mahkamah dimuat naik dan dikongsikan.

Jelasnya, rakaman tersebut hanya untuk kegunaan mahkamah dan bukan untuk disebarkan. Justeru beliau menasihati supaya ia dipatuhi.

Pada masa sama, katanya, orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang komen di media sosial berhubung rakaman prosiding tersebut. 

"Sebarang pelanggaran boleh menyebabkan mahkamah tidak lagi memberikan rakaman berkenaan (kepada kedua-dua pihak)," kata hakim.

9.45 pagi: Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan peguam bela Najib Razak mempertahankan penyebaran video tersebut.

Kata Shafee berkata ia merupakan amalan biasa yang diamalkan sistem kehakiman di England. Bahkan katanya, salinan rakaman prosiding mahkamah juga boleh diakses melalui arkib negara.

Bagaimanapun, Sithambaram menegaskan perbuatan penyebaran rakaman video tersebut satu kesalahan dan menjejaskan integriti.

Shafee kemudian menegaskan bahawa rakaman tersebut wajar dimuat naik untuk tontonan umum untuk mengelakkan laporan berat sebelah.

Seorang lagi peguam bela Najib, Harvinderjit Singh, menyokong hujah Shafee.

Katanya tidak ada sebab rakaman audio visual perbicaan itu dimuat naik pada Jumaat lalu apabila media massa mengemas kini perjalanan perbicaraan itu dari semasa ke semasa.

"Apa beza rakaman media dari seminit ke seminit ini dengan rakaman video of (mengenai prosiding Jumaat lalu)?" katanya.

Menurut Harviderjit rakaman video tersebut bukan keseluruhan perbicaraan sebaliknya sebahagian daripada pemeriksaan balas ke atas dua saksi pendakwaan.

9.20 pagi: Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram mengulas mengenai video rakaman prosiding perbicaraan hari kelima yang dimuat naik oleh bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil, pada Khamis lalu di akaun Facebooknya.

Katanya, rakaman hanya diberikan kepada pihak pembelaan dan pendakwaan untuk penggunaan peribadi mereka.

Jelasnya, pihak pendakwaan tidak dibenarkan menyebarkannya atau menyerahkan salinan rakaman tersebut kepada pihak ketiga.

"Kami meminta pihak pembelaan untuk tidak memberikan rakaman berkenaan kepada pihak ketiga. Orang awam dan (pengguna) media sosial (juga) harus diberi amaran untuk tidak memuat naik (apa-apa rakaman) tanpa kebenaran mahkamah," katanya.

Bagaimanapun ketua pembelaan Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah membantah. Antara alasannya, sebelum ini pihak pendakwaanlah yang membantah permohonan pembelaan untuk mendapatkan arahan melarang media menyiarkan perbicaraan berkenaan.

Kata Muhammad Shafee jika pihak pendakwaan tidak membantah permohonan mereka, isu berkenaan tidak akan timbul sama sekali.

9.20 pagi: Najib Razak memasuki kandang tertuduh selepas hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masuk untuk memulakan perbicaraan.

9.05 pagi: Saksi keempat pendakwaan, Ahmad Farhan Sharifuddin, memasuki mahkamah dan berada di tempat saksi memberi keterangan.

Minggu lalu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan peguam bela Najib Razak mendapatkan dokumen dirampas pegawai Bank Negara dari pejabat Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Pihak pembelaan mahu Ahmad Farhan menunjukkan bukti mengenai komunikasi di antara pegawai bank terbabit, Joanna Yu Ging Ping dengan ahli perniagaan buruan polis, Jho Low.

8.54 pagi: Memasuki dewan perbicaraan Najib mengambil tempat di galeri awam sementara menanti prosiding bermula.

Senaskhah buku diletakkan di tepi sementara beliau meneliti telefon pintar yang ada di tangannya.

8:52 pagi: Najib Razak tiba di bangunan mahkamah Kuala Lumpur menaiki kereta Proton Perdana bernombor plat TN 50.

Nombor itu mungkin mengingatkan orang ramai kepada salah satu dasar yang diperkenalkan Najib sebelum ini, iaitu Transformasi Nasional 2050 beberapa tahun lalu.

Najib yang hadir dengan bersut kelabu hari ini kembali membawa senaskhah sebuah buku dan menuju ke bilik perbicaraan di tingkat lima. 

Lihat Komen
ADS