Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Usaha tingkat pendidikan Orang Asli agenda utama kerajaan
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 11:27 AM
Dikemaskini: 4:54 AM

Usaha meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli masih menjadi agenda utama kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata usaha itu perlu dipergiat dengan kerjasama pelbagai pihak melalui penambahan infrastruktur pendidikan dan penerapan terhadap kempen kesedaran mengenai kepentingan pendidikan.

"Kesedaran dan perubahan ini perlu bermula di peringkat rumah lagi, iaitu dalam kalangan ibu bapa masyarakat Orang Asli," katanya semasa berucap pada Konvensyen Orang Asli Kebangsaan 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir berkata sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar Orang Asli yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam pelbagai jurusan, selain yang berjaya melanjutkan pelajaran di universiti luar negara pada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

"Jumlah ini memberi isyarat kepada kerajaan bahawa masyarakat Orang Asli sudah sedar mengenai pentingnya pendidikan," katanya.

Dr Mahathir berkata pencapaian tinggi pelajar Orang Asli, turut menghantar isyarat bahawa masyarakat itu sudah bersedia dan mempunyai pemimpin dan cerdik pandai untuk tampil ke hadapan, bagi memainkan peranan yang lebih besar dan utama di dalam merangka hala tuju masyarakat itu dan negara.

"Pencapaian mereka yang amat menggalakkan pasti terhasil dari kegigihan dan kerja kuat mereka sendiri. Tetapi ia juga memberi galakan kepada kerajaan bahawa dasar-dasar yang diperkenal telah juga berjaya membantu menghasil pelajar cemerlang tersebut," katanya.

Bagi memastikan sasaran setiap Orang Asli menerima pendidikan secara formal dicapai, beliau berkata kerajaan akan terus membantu pelajar Orang Asli melalui Skim Bantuan Galakan Pendidikan yang telah dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dalam aspek pembangunan insfrastruktur perkampungan Orang Asli, Dr Mahathir berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap projek-projek melibatkan bekalan elektrik dan air terawat, pembinaan jalan serta pembangunan perumahan.

Mengikut statistik terkini, katanya kerajaan telah menyediakan kemudahan jalan kampung sebanyak 84 peratus, bekalan elektrik (80 peratus), bekalan air (79 peratus) dan 82 peratus Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) daripada keseluruhan 853 buah perkampungan Orang Asli yang berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia.

"Kerajaan komited dengan projek pembangunan ini, dan diharapkan kesemua kemudahan tersebut akan disediakan sepenuhnya 100 peratus, sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negara," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat itu melalui penjanaan pendapatan yang tetap, dan stabil di bawah program dirangka untuk memperkasa usahawan Orang Asli.

Katanya program-program itu akan diintegrasikan bersama projek ekonomi sedia ada, melalui latihan dan bimbingan bertujuan membangunkan eko-pelancongan atau agro pelancongan Orang Asli.

"Saya yakin sektor eko-pelancongan atau agro pelancongan Orang Asli mampu membangunkan ekonomi masyarakat ini, melalui penyediaan peluang pekerjaan yang secara langsung akan dapat menambah pendapatan kepada pembuat kraftangan, pengeluar produk hiliran berasaskan hutan dan seterusnya menggalakkan masyarakat terutamanya golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan," katanya.

Perdana Menteri berkata setiap gerak kerja dan usaha pembangunan yang sedang dilaksana dan akan dilaksana kerajaan ke arah membangunkan masyarakat Orang Asli, adalah sejajar dengan Pendekatan Berasaskan Hak Asasi Manusia (PBHAM).

Dr Mahathir berkata pendekatan itu bertujuan memastikan setiap program pembangunan dan kebajikan yang dirancang akan memberi faedah kepada masyarakat itu, dengan tidak mengenepikan kepentingan dan memelihara perkara-perkara asas berkaitan mereka melalui prinsip berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMABT).

"Ini amat penting bagi kerajaan agar setiap dasar yang akan dibangunkan kelak, telah mengambil kira kepentingan masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia yang terdiri daripada 18 suku kaum," katanya.

Dr Mahathir berkata beberapa langkah yang dirasakan perlu untuk menaik taraf dan memperkasakan JAKOA juga sedang dipertimbangkan dengan teliti, supaya jabatan itu lebih berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab memaju, menaik taraf serta menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli.

Katanya langkah itu adalah komitmen kerajaan untuk menunaikan Janji 38 di dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH), iaitu untuk Membela Nasib Orang Asal dan melaksanakan perubahan demi kepentingan dan kelangsungan hidup masyarakat Orang Asli.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengambil langkah meletakkan jabatan itu yang sebelum ini di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah seliaan Senator P. Waytha Moorthy untuk mengoptimumkan penggunaan sumber, serta menetapkan hala tuju dan fungsi yang bersesuaian dengan peranan jabatan itu.

Oleh itu, Dr Mahathir berharap konvensyen itu, dapat mencapai resolusi yang boleh terus memajukan masyarakat Orang Asli, selain membantu kerajaan memahami masalah-masalah mereka dan pendekatan serta tindakan untuk menanganinya.

Dalam pada itu, wakil Batin Orang Asli Mohamad Nohing dari Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera, Pahang dalam ucapannya berharap, kerajaan PH dapat menyelesaikan isu kehilangan tanah adat yang membelenggu masyarakat itu.

"Tanah ini seperti nyawa kami untuk meneruskan kelangsungan hidup, dan menyara keluarga kami. Kami tiada harta selain tanah adat untuk bercucuk tanam dan mencari sumber dari hutan," katanya.

Konvensyen yang dihadiri seramai 1,000 peserta termasuk tok batin, belia dan profesional orang asli, ahli akademik, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan itu, diadakan bagi mendapatkan maklum balas ke arah penyediaan Pelan Pembangunan Orang Asli Nasional.

Bertemakan ‘Memartabatkan Hak Orang Asli’ konvensyen itu memberi tumpuan kepada tujuh fokus utama iaitu tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS