Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah larang edar, muat naik rakaman transkrip kes SRC
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 12:07 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

KES NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini mengingatkan semua pihak supaya tidak mengedar dan memuat naik rakaman transkrip prosiding mahkamah (CRT) membabitkan perbicaraan kes SRC International yang dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak.

Ia susulan aduan oleh Timbalan Pendakwa Raya,V Sithambaran yang membangkitkan isu berhubung penularan satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) prosiding itu di laman sosial Facebook, Jumaat lalu.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa transkripsi rakaman mahkamah (CRT) tidak wajar di muatnaik di laman sosial apatah lagi rakaman itu hanya diserahkan kepada pihak-pihak tertentu sahaja termasuk pihak pendakwaan dan pembelaan.

"Malah sebelum mendapatkan salinan rakaman ini, pihak-pihak perlu memberi akujanji untuk tidak mengedar, menyalin, dan memuatnaik rakaman itu kepada sesiapa.

"Sehubungan itu, pihak kami memohon arahan mahkamah agar mana-mana pihak tidak memuatnaik rakaman perbicaraan ini di media sosial," katanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian mengeluarkan peringatan kepada semua pihak supaya tidak mengedar dan memuat naik rakaman transkrip prosiding mahkamah. Katanya, rakaman CRT bertujuan membantu semua pihak dan membuat nota dalam perbicaraan.

Bagaimanapun, hakim bersetuju dengan hujah peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib bahawa kes itu masih dalam siasatan dan mahkamah tidak boleh membuat keputusan awal berhubung isu berkenaan.

"Pihak kami sebelum ini telah memohon perintah larangan dan bagaimanapun pihak pendakwaan membantahnya. Sekiranya ia dibenarkan saya fikir masalah ini tidak akan timbul.

“Siapa yang makan cabai, dia yang rasa pedasnya,” kata Muhammad Shafee.

Menurutnya, rakaman prosiding itu tidak memberi kemudaratan kepada sesiapa.

“Ramai yang datang kepada kami dan mahukan perbicaraan ini dijalankan secara siaran langsung dan boleh ditonton oleh semua pihak," katanya.

Hakim Mohd Nazlan kemudian berkata laporan polis telahpun dibuat serta perkara ini masih dalam siasatan.

"Bagaimanapun diingatkan sebarang bentuk rakaman. CRT diberikan kepada pasukan pendakwaan dan pembelaan adalah untuk menyediakan nota prosiding. Ia bukan untuk disiarkan atau dimuatnaik media sosial.

"Malah, masyarakat turut diingatkan untuk tidak membuat sebarang komen atau ulasan yang boleh memprejudiskan kes.

“Tindakan mengedar atau memuat naik CRT boleh dianggap menghina mahkamah dan prejudis kepada satu perbicaraan yang adil,” katanya.

Sabtu lalu, video berdurasi dua minit dan 12 saat bertajuk, Hari Kelima Perbicaraan Najib memaparkan rakaman prosiding peguam Najib, Muhammad Shafee menyoal balas saksi yang viral di media sosial.

Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil, pada kelmarin, yang telah ditonton 227,000 kali dan dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook yang mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding pada hari kelima perbicaraan Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.

Semalam, polis membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes Najib  yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan polis, di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS