Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua exco Johor digugurkan
Diterbitkan:  Apr 22, 2019 12:23 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Seperti dijangka dua exco kerajaan negeri Johor digugurkan daripada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang baru di bawah Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal.

Dua exco yang digugurkan itu ialah, Mazlan Bujang yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteriwangsa dari Bersatu dan Adun Skudai dari DAP, Tan Hong Pin.

Mazlan memegang portfolio sebagai exco kerja raya, infrastruktur dan pengangkutan manakala Tan yang juga setiausaha DAP Johor memegang portfolio kerajaan tempatan, sains dan teknologi.

Berdasarkan barisan exco kerajaan negeri yang baru disiarkan di laman sosial Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, nama dua Adun berkenaan tiada dalam senarai.

Sepuluh exco kerajaan negeri Johor yang telah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Ibrahim hari ini ialah, Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Dzulkefly Ahmad (Kota Iskandar), Jimmy Puah Wee Tse (Bukit Batu), Dr S Ramakrishnan (Bekok), Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah).

Turut mengangkat sumpah Sheikh Omar Ali (Paloh), Tan Chen Choon (Jementah), Mohd Solihan Badri (Tenang), Tosrin Jarvanthi (Bukit Permai) dan Liow Cai Tung (Johor Jaya).

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Mazlan dan Tan. Tan bagaimanapun mengeluarkan kenyataan berkaitan perkara itu di Facebook dalam bahasa Cina.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan dua individu berkenaan kemungkinan digugurkan daripada barisan Exco kerajaan negeri di bawah kepimpinan Sahruddin.

Menurut sumber, mereka berdua kurang disenangi istana.

Sebelum Pakatan Harapan (PH) menang di Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Tan yang ketika itu menjadi Adun Mengkibol, tidak setuju dengan pendirian Sultan Ibrahim agar sidang DUN tidak disiarkan secara langsung pada 2017.

Beliau juga menggesa kerajaan BN ketika itu untuk memujuk Sultan Ibrahim berkenaan perkara itu.

Selepas PH mentadbir negeri itu, Tan berdepan keadaan sukar yang berpunca daripada dua ahli pihak berkuasa tempatan, memandangkan ia bawah portfolionya.

Insiden pertama melibatkan ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang mengeluarkan surat rasmi dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Tan kemudian menjelaskan surat itu juga mempunyai versi Bahasa Melayu, tetapi hanya versi dua bahasa itu yang disebarkan di media sosial.

Insiden kedua berkenaan komen 'biadab' ahli Majlis Daerah Pontian terhadap Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Lihat Komen
ADS