Paling Popular
Terkini
story images
story images

TINJAUAN | Harga tiket murah atau berpatutan, selain peluang pekerjaan antara perkara utama yang diharapkan oleh rakyat Kelantan susulan keputusan kerajaan untuk meneruskan Projek Rel Kerata Api Pantai Timur (ECRL).

Tinjauan Malaysiakini secara umum mendapati, rata-rata rakyat negeri di Serambi Mekah itu menyambut baik pelaksanaan ECRL dengan harapan ia akan menyuntik pembangunan ekonomi dan sosial.

Bagi Muhammad A'imisyafiq Rohaimi, 26, perkara utama yang diharapkannya adalah harga tiket bagi pengangkutan awam itu diharap murah dan berpatutan.

Katanya, rakyat Kelantan pastinya akan menggunakan kemudahan itu sebaik mungkin memandang pengangkutan awam lain juga bersifat terhad khususnya pada musim cuti perayaan.

Muhammad A'imisyafiq Rohaimi

"Kita harap kos tiket murah dan mampu digunakan oleh semua lapisan masyarakat khususnya golongan B40.

"Ia selaras dengan harap dan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup sekali gus menikmati kemudahan yang baik.

"Selain itu, diharap projek ECRL nanti akan meningkat kemasukan pelabur di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya yang juga seorang peniaga.

Bagi Abdullah Ismail, 55, berkata penerusan ECLR itu diharap dapat memberi kesan pembangunan yang lebih rancak di negeri Kelantan.

Jelasnya, ia bukan sahaja berkait dengan kerancakkan sektor ekonomi bahkan kemajuan dalam aspek pemikiran rakyat.

"Apabila wujud pembangunan dan kemajuan fizikal, kita harap rakyat Kelantan juga lebih berwawasan untuk maju ke depan dengan perkembangan daya fikir serta sosial yang tinggi.

"Ia penting untuk kita menyaksikan kemajuan material setaraf dengan perkembangan rohani penduduk setempat," katanya kepada Malaysiakini.

Abdullah Ismail.

Terdahulu, kerajaan persekutuan mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion, selain jajaran laluannya distruktur semula.

Sebagai rekod, projek ECRL asalnya dicadangkan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak. Upacara pecah tanah untuk projek berkenaan dilakukan pada Ogos 2017.

ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Klang ke Tumpat, Kelantan dan mengikut rancangan asal landasan itu mengunjur sehingga 688km. Namun, dalam perancangan baru stesen ECRL di negeri itu hanya akan berakhir di Kota Bharu.

Sementara itu, Ardiana Azman, 24 berkata, dengan adanya kemudahan ECRL di negeri Kelantan dilihat dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan.

Menurutnya, rakyat Kelantan antara penduduk tertinggi yang berhijrah ke negeri-negeri lain sama ada untuk bekerja atau belajar.

"Jadi kebiasaannya pada musim perayaan akan berlaku kesesakan melibatkan kemasukan jumlah kenderaan begitu tinggi ke Kelantan, dengan adanya ECRL penduduk Kelantan boleh menggunakan kemudahan itu untuk pulang ke kampung.

"Ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan kesesakan jalan raya," kata usahawan tudung itu.

Bagi mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia, Hasan Sharafi Adli, 24, penerusan projek itu adalah usaha positif ke arah kemajuan mapan negeri Kelantan.

Namun katanya, perancangan jajaran awal dilihat mempunyai nilai tambahan kerana perkhidmatan ECRL itu juga dapat menarik minat penduduk dari negara jiran.

"Ini kerana kedudukan Tumpat bersempadan dengan Thailand, jadi selain menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia, perkhidmatan itu juga mungkin menjadi pilihan warga Thailand.

"Ia akan memberi kesan lebih meluas di samping faedah-faedah lain seperti mengurang kesesakan dan faktor merancakkan pertumbuhan ekonomi," jelasnya.

Hasan Sharafi Adli.

Lihat Komen
ADS