Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih separuh kes dera libatkan penderaan seksual

Sebanyak 1,921 kes daripada 3,308 kes penderaan yang dilaporkan kepada Pasukan Penderaan dan Pengabaian Kanak-Kanak Yang Disyaki (SCAN) di hospital seluruh negara pada 2018 adalah kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan, Dr Faridah Abu Bakar berkata peratusan kanak-kanak perempuan mangsa penderaaan seksual adalah lebih tinggi malah majoriti mangsa mengenali pelaku.

"Setiap tahun kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak terus merekodkan peningkatan ia memerlukan satu rangkaian kerjasama daripada jabatan dan agensi kerajaan untuk membendungnya terutama dalam aspek mendidik sebagai langkah pencegahan.

"Peranan utama ibu bapa juga sangat penting dalam memberi penerangan mengenai jenayah seksual kepada kanak-kanak agar mereka faham mengenai had dan batasan sentuhan seseorang terhadap mereka yang boleh mengelak jenayah ini terus berleluasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Seksual Kanak-Kanak Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 22,234 kes penderaan seksual kanak-kanak telah direkod bagi tempoh 2010 hingga Mei 2017, iaitu purata 3,176 kes setahun.

Jumlah itu mewakili empat kategori penderaan seksual iaitu rogol (13,272 kes) diikuti cabul (6,014 kes), sumbang mahram (1,796 kes), perbuatan luar tabii (1,152 kes).

Beliau berharap kanak-kanak diberi pendedahan sewajarnya mengenai serangan jenayah seksual ini agar mereka dapat mengadu kepada ibu bapa atau orang dewasa seterusnya membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Pada masa sama, kanak-kanak (dan keluarga) yang menjadi mangsa jenayah seksual perlu diberi kaunseling kerana kesan daripada keganasan seksual ini meninggalkan impak mendalam kepada fizikal dan psikologi mereka," katanya. 

- Bernama

Lihat Komen
ADS