Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dari warganegara baik kepada warganegara demokratik

ULASAN | Kerajaan Malaysia telah mengumumkan dua perkara penting dalam memperkasa celik demokrasi di Malaysia iaitu menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan memperkenalkan semula mata pelajaran pendidikan sivik dalam silibus sekolah awam. Dua perkara ini saling berkait dan memerlukan antara satu sama lain. Namun, penulisan ini akan memfokuskan kepada mata pelajaran pendidikan sivik yang merupakan medium pendedahan awal mengenai demokrasi kepada pelajar sejak di peringkat sekolah lagi.

Selain pendidikan sivik, di negara lain ia juga dikenali sebagai pendidikan kewarganegaraan, pendidikan demokrasi atau pendidikan politik.

Mata pelajaran ini telah mula diajarkan di sekolah pada tahun 1954 berikutan cadangan Laporan Pelajaran Tahunan 1952. Kepesatan perbincangan mengenai hala tuju pendidikan negara oleh pihak British pada sekitar tahun 1949 hingga 1952, telah memberikan kesan kepada Laporan Pelajaran Tahun 1952 terutamanya keperluan untuk diadakan suatu pendidikan formal di sekolah bagi merapatkan hubungan pelajar-pelajar dari keturunan yang berbeza-beza.

Selepas kemerdekaan, pihak kerajaan meneruskan pendidikan sivik untuk diajarkan mengikut syor Laporan Razak 1956. Seterusnya, dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 atau Laporan Mahathir 1979, kerajaan telah memberikan penekanan terhadap pendidikan sivik dengan bertujuan untuk menyemai, menanam dan memupuk, semangat cintakan negara, jaya diri, dan semangat mahu dan sanggup memahami masalah-masalah masyarakat serta bersedia untuk bertindak atau melibatkan diri bagi menyelesaikan masalah-masalah itu.

Ketika kurikulum pendidikan kebangsaan dikaji semula dan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983, pendidikan sivik telah dimansuhkan dan nilai-nilai pendidikan sivik dimasukkan ke dalam subjek seperti Sains, Geografi, Sejarah dan Kesihatan.

Pendidikan sivik kemudiannya telah diperkenalkan semula pada tahun 2005 sebagai satu mata pelajaran khusus atau berasingan. Namun, tidak lama selepas itu pihak kerajaan sekali lagi memansuhkan pendidikan sivik pada tahun 2013 bagi sekolah rendah dan 2017 bagi sekolah menengah.

Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan nilai-nilai pendidikan sivik dimasukkan semula ke dalam mata pelajaran lain seperti pelaksanaan KBSR dan KBSM tetapi hanya dihadkan kepada Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.

Wawasan pendidikan sivik

Persoalan utama yang perlu diberikan perhatian apabila kerajaan Malaysia ingin memperkenalkan semula mata pelajaran pendidikan sivik adalah mengenai wawasan mata pelajaran itu sendiri.

Wawasan utama pendidikan sivik di Malaysia sebelum ini adalah untuk melahirkan warganegara yang baik yang boleh dilihat secara jelas dalam pendahuluan sukatan pelajaran pendidikan sivik dan kewarganegaraan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sitti Hasnah, Mohd Mahzan dan Abdul Razaq dalam Penerapan Kompetensi Kewarganegaraan dalam Kalangan Pelajar Pelbagai Etnik Peringkat Sekolah Menengah di Malaysia (2016) mendefinisikan warganegara baik dalam konteks sebagai insan yang seimbang dan harmonis yang mencerminkan individu yang berilmu pengetahuan, luhur dan mulia dari segi rohani, sihat dan bersih dari segi mental dan fizikal serta dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Menurut Halstead and Pike dalam Citizenship and Moral Education: Values in Action (2006) wawasan warganegara yang baik lebih mementing dan menekankan sosialisasi pelajar dalam masyarakat yang berbentuk ketaatan, komitmen, patriotisme dan kuasa sivik. Dalam erti kata lain menekankan penghormatan kepada pemimpin dan taat kepada negara berbanding mempunyai pemikiran yang kritis terhadap setiap tindak-tanduk mereka.

Hal ini berbeza dengan wawasan warganegara demokratik seperti yang dinyatakan oleh Gardner dalam Anonymity and Democratic Citizenship (2011) bahawa ia adalah keikhlasan, kemerdekaan dan pemikiran awam dalam demokrasi.

Keikhlasan secara umumnya bercakap dan menyatakan dalam arena politik dengan bertindak mengikut kepercayaan sebenar mereka. Kemerdekaan pula adalah penalaran politik atau pendapat rakyat yang berdasarkan analisis mereka sendiri tanpa pengaruh atau paksaan orang lain. Seterusnya, pemikiran awam adalah perbahasan mengenai kewajipan warganegara mengenai beberapa konsep kebaikan secara kolektif.

Wawasan warganegara baik menekankan perkembangan warga sebagai individu dan anggota masyarakat, tetapi kurang menyentuh penyertaan rakyat yang aktif dan kritikal seperti demokrasi, politik dan hak asasi manusia berbanding wawasan warganegara demokratik.

Hal ini juga ditekankan oleh kajian Sri Murniarti dan Al-Mustaqeem dalam Pendidikan Sivik untuk Penyuburan Demokrasi (2012) yang berpendapat bahawa wawasan warganegara baik dalam kandungan mata pelajaran pendidikan sivik dalam KBSM tidak selari dengan pembangunan pendidikan sivik di peringkat global.

Selain itu, pengkaji juga membuat perbandingan yang wawasan pendidikan sivik di Jerman meliputi keupayaan untuk menilai dasar-dasar awam, keberanian untuk bersuara dan menyatakan pandangan, serta semangat mempertahankan kebebasan dan harta benda individu tetapi nilai ini tidak diajarkan di Malaysia.

Peranan guru dalam pendidikan sivik

Seterusnya, persoalan yang turut penting adalah kemampuan guru untuk menyampaikan kandungan mata pelajaran. Hal ini penting kerana di Malaysia tidak mempunyai guru yang khusus dalam bidang sivik. Dalam kajian oleh Fesnic dalam Can Civic Education Make a Difference for Democracy? Hungary and Poland Compared (2015) menunjukkan latar belakang guru mempunyai kesan yang signifikan terhadap kefahaman dan tindak balas pelajar.

Perbandingan mengenai kepentingan mengundi, mengenal pasti kerajaan yang non-demokratik, membuat sumbangan untuk menyelesaikan masalah dalam masyarakat, dan menyatakan sikap positif terhadap imigran menunjukkan pelajar Poland lebih berpengetahuan dan demokratik berbanding pelajar Hungary. Hal ini disebabkan, di Poland, mata pelajaran pendidikan sivik diajarkan oleh guru yang berlata rbelakang sains sosial dan sivik, sedangkan di Hungary oleh guru sejarah. Ini secara langsung memberi kesan kepada kualiti pembelajaran pelajar kerana pemahaman guru tentang nilai-nilai sivik dan hak asasi manusia terbatas.

Bagi menangani masalah ini, pihak kerajaan perlu menyediakan pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Bagi pelan jangka masa pendek adalah mewujudkan kursus pengajaran pendidikan sivik bagi guru-guru yang berlatarbelakangkan sains sosial seperti sejarah, pendidikan islam, geografi atau pendidikan moral. Kursus ini perlulah diadakan sebelum dan berkala selepas pendidikan sivik diperkenalkan semula. Hal ini penting bagi memastikan guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran sivik yang selayaknya untuk mengajar pelajar.

Manakala, pelan jangka panjang adalah sangat penting untuk mewujudkan kursus pendidikan sivik yang spesifik atau sekurang-kurangnya minor di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah. Hal ini bagi menyediakan tenaga pengajar yang berkualiti dan mampan untuk disalurkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Perlembagaan, rangka kerja perundangan dan hak asasi manusia

Baru-baru ini, Fauziah Ismail yang merupakan Editor Eksekutif, Editorial Perniagaan dan Gaya Hidup NST ada menulis mengenai kepentingan untuk dimasukkan intipati perlembagaan, rangka kerja perundangan dan hak asasi manusia dalam silibus pendidikan di sekolah. Hal ini disebabkan polemik penarikan diri Malaysia dari Statut Rom dan krisis pelantikan Menteri Besar Johor yang baru bagi menggantikan Osman Sapian.

Sebenarnya dalam silibus Tingkatan 4 PSK sebelum ini sudah pun terdapat topik Kepentingan Perlembagaan Malaysia di bawah tema Malaysia Negara Berdaulat Perkara. Namun, jika dilihat kepada cadangan aktiviti seperti menghasilkan peta konsep sejarah dan forum kepentingan Perlembagaan Malaysia agak kabur untuk menyediakan pelajar supaya benar-benar memahami sekurang-kurangnya kepentingan dan aplikasi hak asasi manusia serta tugas serta legitimasi setiap dari badan utama negara. Begitu juga peranan dan legitimasi sistem diraja dalam aplikasi raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

Di Nepal, kurikulum bagi subjek sains sosial di sekolah menengah ada mengajarkan sejarah dan pembangunan perlembagaan Nepal, hak asasi manusia dan tanggungjawab yang diperuntukkan oleh perlembagaan, peranan dan legitimasi tiga badan utama negara eksekutif, legislatif dan kehakiman dan deklarasi hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Silibus pendidikan sivik seperti di Jerman, Nepal, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain yang mempunyai konsep warganegara demokratik wajar dijadikan rujukan oleh pihak kerajaan untuk dimasukkan ke dalam silibus pendidikan sivik yang baru.

Mewujudkan subjek berasingan dan penerapan nilai dalam subjek sains sosial

Memupuk pemahaman dan nilai demokrasi atau melahirkan pelajar yang demokratik memerlukan jangka masa yang panjang, kos yang tinggi dan komitmen pelbagai pihak.

Justeru, pihak kerajaan sewajarnya memperkenalkan semula mata pelajaran pendidikan sivik secara berasingan dan menerapkan nilai-nilai sivik dalam mata pelajaran sains sosial yang bersesuaian seperti sejarah, bahasa melayu, pendidikan islam, geografi dan pendidikan moral. Hal ini bagi memastikan pelajar dapat mempelajari nilai-nilai sivik secara holistik dan tidak hanya meletakkan beban kepada pendidikan sivik.

Selain itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran pendidikan sivik juga perlu memastikan nilai-nilai kebebasan akademik diangkat, dilaksana dan diamalkan oleh guru, pelajar dan pemegang taruh yang lain. Hal ini penting bagi mewujudkan suasana yang kondusif dan selamat untuk pelajar dan guru membincangkan secara ilmiah mengenai tajuk-tajuk yang dianggap sensitif seperti kebebasan agama, kebebasan bersuara, tindakan afirmatif dan hak minoriti. Sekolah sewajarnya menjadi tempat pendedahan awal mengenai sistem sosial, politik dan ekonomi yang mengangkat nilai kebebasan akademik tanpa sempadan.


TARMIZI ANUWAR ialah pengurus penyelidik di Institute for Leadership and Development Studies. Beliau juga pelajar sarjana hak asasi manusia dan pendemokrasian di dwiprogram Universiti Mahidol dan Sekolah Undang-undang Kathmandu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS