Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam dipenjara 30 hari, denda RM40,000 kerana hina mahkamah
Diterbitkan:  Apr 23, 2019 11:29 AM
Dikemaskini: 10:32 AM

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menjatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM40,000 terhadap peguam Arunachalam Kasi atau lebih dikenali sebagai ‘Arun Kasi’ selepas mendapatinya bersalah menghina mahkamah berhubung dua kenyataannya yang mengkritik prosiding serta keputusan satu kes mahkamah.

Hakim Ramly Ali, yang mengetuai panel lima hakim, berpendapat bahawa kenyataan menghina yang dibuat Arun Kasi terhadap Mahkamah Persekutuan adalah sangat serius dan mencemarkan nama baik badan kehakiman secara keseluruhannya, serta menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman, mencemuh, memalukan dan menyinggung maruah, integriti serta kesaksamaan mahkamah.

“Kami (panel) turut memberi pertimbangan kepada penghujahan Badan Peguam supaya tidak mengenakan hukuman melibatkan pemenjaraan. Bagaimanapun, graviti kesalahan yang dilakukan Arun Kasi ditambah pula dengan keengganan beliau untuk menyatakan permohonan maaf tidak berbelah bahagi mewajarkan Mahkamah ini untuk mengambil pandangan serius terhadap perkara ini.

“Dalam keadaan ini, kami berpandangan bahawa hukuman yang sesuai adalah penjara bagi tempoh 30 hari mulai hari ini dan denda RM40,000 atau penjara 30 hari,” kata Hakim Ramly.

Panel itu yang turut dianggotai empat Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Azahar Mohamed, Rohana Yusuf, Tengku Maimun Tuan Mat dan Nallini Pathmanathan turut menolak permohonan Arun Kasi bagi penangguhan pelaksanaan hukuman itu.

“Kami dapati tiada merit untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ini. Permohonan penangguhan ditolak. Arun Kasi akan menjalani hukuman hari ini,” kata Hakim Ramly.

Peguam Datuk Joy Appukuttan yang mewakili Arun Kasi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman kerana beliau mahu memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan hari ini.

Dalam jawapannya, Peguam Negara Tommy Thomas berkata kes ini bukanlah satu kes jenayah yang memerlukan penangguhan sementara menunggu rayuan untuk ke peringkat seterusnya.

Arun Kasi yang berdiri di luar kandang tertuduh, turut memohon penangguhan dan memaklumkan kepada mahkamah dia kini mendapatkan rawatan di hospital dan doktor memberinya kebenaran untuk menghadiri prosiding mahkamah dan dia perlu datang kembali ke hospital.

Pada 27 Feb tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan sebelah pihak Peguam Negara bagi kebenaran untuk memulakan prosiding menghina ke atas Arun Kasi kerana didakwa mengeluarkan kritikan berkaitan afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Dr Abdul Hamid Abu Backer mengenai dakwaan salah laku hakim dalam dua artikel yang disiarkan portal dalam talian Aliran pada 16 Feb dan 22 Feb 2019.

Dalam kedua-dua artikel itu, Arunachalam didakwa mengkritik perjalanan prosiding Mahkamah Persekutuan dan keputusan mahkamah pada 11 Nov 2018, dalam kes PCP Construction lwn Leap Modulation.

Hakim Ramly, ketika menjatuhi hukuman itu, berkata panel berkenaan mempertimbangkan dengan teliti hujah Peguam Negara dan rayuan yang dikemukakan sendiri oleh Arun Kasi serta oleh peguamnya.

“Kami mengambil maklum bahawa beliau (Arun Kasi) menyatakan kekesalannya jika tulisannya itu dilihat sebagai menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap Badan Kehakiman. Bagaimanapun, pada masa sama kami dapati beliau tidak mengemukakan permohonan maaf tidak berbelah bahagi meskipun ditanya oleh mahkamah,” katanya.

Hakim Ramly berkata kes itu sepatutnya dijadikan peringatan bahawa sungguhpun orang ramai berhak menyuarakan pendapat mereka secara rasional dan melibatkan diri dalam perbincangan berkaitan keputusan sesebuah mahkamah, ia perlu dilakukan dalam lingkungan had yang dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau berkata adalah penting untuk menegaskan bahawa bidang kuasa mahkamah tidak wujud untuk melindungi maruah seseorang hakim secara peribadi, sebaliknya ia bertindak untuk melindungi Badan Kehakiman sebagai sayap ketiga kerajaan dan bukannya seseorang hakim secara berasingan.

"Begitu juga tiada bidang kuasa sedemikian yang akan digunakan untuk menyekat kritikan jujur, yang dibuat berdasarkan alasan rasional, untuk menentukan cara mahkamah melaksanakan fungsinya. Sebarang perbincangan seperti itu hendaklah dalam apa jua keadaan dilakukan tanpa muslihat, demi kepentingan awam," katanya.

Hakim itu berkata panel berkenaan tidak diyakinkan bahawa kenyataan Arun Kasi ditulis demi kepentingan umum kerana jelas kepada mahkamah bahawa kuasa undang-undang seperti yang ditadbir oleh mahkamah telah dilanggari dan apatah lagi dalam kes sekarang, sebagai seorang peguam bela dan peguam cara, Arun Kasi merupakan seorang pegawai mahkamah yang diharapkan untuk menegakkan maruah mahkamah.

“Sebagai seorang pegawai mahkamah, beliau seharusnya sentiasa bertindak dalam cara yang bertanggungjawab dan tambahan pula, beliau tidak boleh melanggar undang-undang, kerana jika beliau melakukannya, beliau harus menerima akibatnya.

“Sebab itulah dalam kes sekarang, kami berpendapat bahawa hukuman ini mesti mencerminkan betapa seriusnya kesalahan yang dilakukannya,” tegas beliau.

Dalam penghakimannya, Hakim Ramly berkata panel berkenaan memberi pertimbangan serius kepada keterangan Arun Kasi bahawa kedua-dua kenyataannya itu tidak ditujukan kepada Mahkamah Persekutuan atau Badan Kehakiman.

Bagaimanapun, dengan menerapkan ujian objektif seperti yang digariskan panel sebelum ini dan membaca kenyataan itu dengan menyeluruh, amat jelas bahawa kenyataan itu ditujukan kepada Mahkamah Persekutuan dan Badan Kehakiman.

“Kami telah menimbang keterangan dan penghujahan sama ada kenyataan yang dipersoalkan itu adalah kritikan yang adil atau membawa kepada penghinaan.

“Berdasarkan sebab yang dinyatakan itu, kami berpuas hati tanpa sebarang keraguan bahawa kenyataan Arun Kasi diperhitungkan untuk menghakis keyakinan masyarakat terhadap pentadbiran keadilan dan Badan Kehakiman. Kami sehubungan itu, membenarkan permohonan Peguam Negara bagi pemenjaraan.

“Kami dapati Arun Kasi bersalah kerana menghina mahkamah,” kata Hakim Ramly.

- Bernama


Lihat Komen
ADS