Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ECRL: Tiada tanah diberi percuma pada China, kata Lim

China tidak akan diberi tanah percuma di Malaysia sebagai pertukaran kepada pengurangan RM21.5 bilion dalam projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa 4,500 ekar tanah akan diberi kepada negara itu.

Beliau berkata tiada maklumat berkenaan dakwaan itu kerana tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet tetapi yakin ia tidak benar.

"Saya tidak fikir (dakwaan) betul kerana kita melihat kepada kontrak (perjanjian tambahan ECRL). Jika ada (terma) tambahan, ia perlu dibawa ke kabinet.

"Setakat ini kami tidak dimaklumkan seperti apa yang dimaklumkan kepada anda (media) berkenaan tambahan 4,500 ekar tanah diberi percuma.

"Apa yang ingin saya katakan ialah 4,500 ekar tanah tidak akan diberi percuma," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Pada 12 April lalu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai perjanjian tambahan ECRL di Beijing.

Kos pembinaan projek itu diumumkan telah dikurangkan sebanyak 32.8 peratus kepada RM44 bilion.

Bagaimanapun penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa potongan yang diberi CCCC itu adalah untuk pertukaran dengan 4,5000 ekar tanah di tujuh taman perindustrian berdekatan stesen ECRL.

Dalam perkembangan lain, Lim juga berkata beliau tiada maklumat berkenaan dakwaan kerajaan merancang menukar bon 1MDB bernilai RM2.4 bilion yang dipegang Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Tabung Haji dengan ekuiti Bandar Malaysia.

Bagaimanapun beliau berkata tiada apa yang perlu dirisaukan berkenaan bon yang dipegang dua entiti itu kerana ia dijamin kerajaan.

"Berkenaan Bandar Malaysia, tunggu pengumuman rasmi daripada perdana menteri (kerana) ia melibatkan kontrak yang akan ditandatangani," katanya.

Sebelum ini laporan The Edge yang memetik sumber berkata kerajaan dalam usaha mengurangkan beban hutang 1MDB menimbang untuk menukar bon tersebut dengan ekuiti Bandar Malaysia.

Lim sebelum sidang media menandatangani dua kontrak bernilai RM2.17 bilion dengan Bombardier Hartasuma Consortium (BHC) untuk pembekalan 27 set kereta api baru dan pembaharuan set kereta api dua-gerabak untuk LRT aliran Kelana Jaya.

Set kereta api baru memakan belanja RM1.7 bilion manakala pembaharuan set keretapi RM473 juta.

Kereta api baru dijangka tiba paling awal suku pertama 2020.

Lihat Komen
ADS