Paling Popular
Terkini

KES NAJIB | Mahkamah hari ini diberitahu pentadbiran Najib Razak pernah membayar sebuah firma penyelidikan sebanyak RM150,000 sebulan untuk melakukan analisis terhadap enam akhbar berbahasa Cina.

Pengarah dan pengasas bersama Centre of Strategic Engagement (Cense), Rita Sim, berkata firma itu dilantik Allahyarham Jamaluddin Jarjis yang ketika itu menjadi penasihat Najib.

Dapatan daripada pemantauan itu, katanya, dilaporkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Memberikan keterangan di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Sim berkata Cence mendapat bayaran dari akaun Ambank yang ada kaitan dengan perbicaraan Najib berhubung SRC International Sdn Bhd.

Menjadi saksi pendakwaan ke-14 Sim yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi berkata Cence memberikan khidmat sebagai firma kaji selidik dan menjalankan penyelidikan dasar awam serta pemantauan media berbahasa Cina.

Saifuddin: Adakah syarikat kamu menjalankan kaji selidik untuk PMO?

Sim: Ya. Kami memberikan perkhidmatan memantau media berbahasa Cina. Kami melihat enam akhbar harian Cina dan laman sesawang mereka. Kami memilih hal-hal dan isu menyentuh komuniti Cina, merangkumkannya dan menghantar laporan itu kep pejabat media PMO.

Ketika ditanya Saifuddin sama ada Jamaluddin memegang sebarang jawatan di PMO pada ketika itu, Sim tidak dapat memberikan pengesahan.

Kata Sim dia bertemu dengan bekas anggota parlimen Rompin dan duta Malaysia ke AS itu di PMO.

Menurut Sim, Cence memberikan khidmat mereka kepada pentadbiran Najib di antara 2014 dan 2015.

Sementara itu semasa disoal balas, ketua peguam bela tertuduh, Muhammad Shafee Abdullah, cuba membuktikan fungsi sesebuah firma seperti Cence kepada parti politik.

Shafee: Rita, adakah kamu setuju dengan saya bahawa penting bagi mana-mana parti politik - seperti BN - untuk memahami isu masyarakat Cina jika mahu menangani rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan?

Sim: Komuniti Cina patut menjadi perhatian semua parti politik, bukan BN saja. Kerajaan semasa mesti membuat dasar-dasar (bagi menangani keperluan) komuniti Cina kerana mereka sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Shafee: Apakah isu-isunya?

Sim: Komuniti Cina ada banyak isu berkaitan pendidikan dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). (Kemudian) masalah golongan berpendapatan pertengahan atau kemiskinan bandar dalam kalangan masyarakat Cina. Semua orang menyangka orang Cina kaya tapi itu tak benar. Ramai yang bergaji di bawah RM5,000. Kemudian ada masalah perumahan dan sebagainya.

Pada satu ketika Shafee bertanya jika kerajaan persekutuan menambah bilangan sekolah jenis kebangsaan Cina semasa itu dan dinafikan Sim.

"Tidak pernah ada peningkatan jumlah sekolah vernakular, cuma peruntukan (kewangan)," katanya.

Semasa sesi soal balas itu juga Sim memberitahu dia pernah menjadi pengarah eksekutif Sin Chew Media Corp Bhd (SCMCB)yang bertanggungjawab dalam operasi harian syarikat berkenaan.

Dia juga terbabit dalam penggabungan SCMCB, Hong Kong Ming Pao Enterprise Corporation dan Nanyang Press Holdings bagi menubuhkan Media Chinese International Ltd (MCIL), sebuah syarikat akhbar terbesar di luar China, Taiwan dan Hong Kong.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS