story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Shafee minta tangguh, tapi AG bantah

KES NAJIB | Perbicaraan ke atas bekas perdana menteri Najib Razak berhubung tuduhan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ketujuh di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Seperti biasa Malaysiakini membawakan liputan secara langsung perbicaraan kes berprofil tinggi ini.

Shafee minta tangguh, AG kata 'keadilan mesti diteruskan'

5pm: Shafee cuba memohon prosiding ditangguhkan hari ini, tetapi hakim tidak membenarkannya dan perintah prosiding diteruskan untuk setengah jam berikutnya.

Shafee berkata prosiding mungkin juga diteruskan esok kerana saksi Uma Devi, yang merupakan pengurus Ambank Raja Chulan akan tetap memberi keterangan sepanjang hari esok.

"Adalah idea yang baik untuk berehat kerana ada antara kita perlu melihat cahaya matahari," katanya yang menimbulkan deraian ketawa dari galeri awam.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tommy Thomas (gambar di bawah) tidak bersetuju.

"Ini adalah ujian stamina. Keadilan mesti diteruskan. Saksi (Uma) masih di sini (di tempat saksi)," kata Thomas yang merupakan pendakwa raya utama.

Shafee kemudian membalas bahawa saksi juga mungkin keletihan dan sesetengah mereka yang berada di mahkamah mempunyai aktiviti luar seperti bersenam.

"Saya mahu masa saya, saya tidak mahu terjebak di mahkamah," kata beliau.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memerintahkan agar prosiding disambung untuk tempoh setengah jam lagi.

RM3.2 juta dari akaun Najib pindah ke 2 akaun kad kredit - Saksi

4.28 petang: Uma Devi memberi keterangan mengatakan pada 11 Ogos 2014, Ambank Raja Chulan diperintahkan memindahkan RM3,282,734.16 dari akaun Ambank Najib dan dibahagikan kepada dua akaun kad kredit berasingan.

Dia membaca kenyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Ketua DPP Suhaimi petang ini.

"Saya merujuk kepada surat arahan bertarikh 11 Ogos 2014, yang merupakan arahan debit.

"Saya mengesahkan bahawa surat arahan itu membawa kepada pemindahan RM3,282,734.16 daripada akaun Ambank Najib.

"Surat itu memerintahkan supaya menggunakan RM449,586.95 daripada RM3,282,734.16 untuk dikreditkan ke dalam kad kredit Visa Platinum.

"Baki sebanyak RM2,833,147.21 dikreditkan ke kad kredit Mastercard Platinum," katanya dalam merujuk kepada kedua-dua kad dikeluarkan oleh Ambank.

Walau bagaimanapun, dia tidak menyebut nama pemilik kad kredit berkenaan.

Saya penat dan bosan - Shafee

4.02pm: Shafee berkata beliau mengakui berasa letih, bosan dan ingin berehat sebentar daripada prosiding.

"Kita telah tiba hampir separuh jalan. Saya tak tahu pula saksi, tapi saya sangat penat dan bosan. Bolehkah kita berehat sekejap," mohon peguam Najib itu daripada hakim.

Ini menyebabkan Uma Devi, Najib dan mereka yang berada di galeri awam tertawa.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan permohonan Shafee untuk berehat seketika selepas berjam-jam mendengar keterangan Uma Devi.

 

Baki akaun Najib RM12 juta

3.45pm: R Uma Devi mengesahkan akaun simpanan Najib berbaki RM12,436,711.83 manakala akaun semasa berbaki RM82.67.

Kedua-dua akaun itu ditutup pada 30 Ogos 2013.

Dia memaklumkan perkara itu ketika sesi soal balas dengan DPP Suhaimi.

Terdahulu, Uma berkata Najib menutup satu akaun semasa dan satu akaun simpanan pada tarikh tersebut. Tetapi tidak jelas baki berkenaan untuk akaun mana.

Najib ada 5 akaun Ambank pada 2011-2015

3.30pm: Bekas perdana menteri Najib Razak membuka dan menutup lima akaun berlainan di Ambank cawangan Raja Chulan antara 13 Januari 2011 hingga 9 Mac 2015.

Pengurus bank cawangan R Uma Devi memberitahu perkara itu ketika sesi soal balas dengan DPP Suhaimi Ibrahim.

Dia berkata Najib membuka empat akaun semasa dan satu akaun simpanan dalam tempoh itu.

Akaun simpanan dibuka pada 18 Januari 2011 dan ditutup pada 30 Ogos 2013.

Salah satu akaun semasa dibuka pada 13 Januari 2011, dan tiga lagi pada 31 Julai 2013.

Akaun semasa pertama ditutup pada 30 Ogos 2013, manakala tiga lagi pada 9 Mac 2015.

Transaksi antara SRC International dan subsidiari disahkan

3.05pm: R Uma Devi berkata subsidiari SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd ada menghantar permohonan untuk membuka akaun semasa dengan Ambank cawangan Raja Chulan pada 23 Julai 2014.

Pengurus cawangan itu berkata, Gandingan Mentari melampirkan resolusi lembaga pengarah sebagai dokumen sokongan untuk permohonan tersebut, yang menyatakan Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md Yassin sebagai penandatangan sah untuk akaun itu.

Kata Uma lagi, penyata akaun syarikat itu - untuk tempoh 23 Julai 2014 hingga 16 Ogos 2015 - menunjukkan Gandingan Mentari telah menerima tiga transaksi wang daripada SRC International.

Tiga transaksi itu bertarikh 24 Disember 2014 untuk RM40 juta, dan RM5 juta untuk 5 dan 6 Februari 2015.

Dia juga berkata penyata akaun Gandingan Mentari ketika tempoh tersebut menunjukkan syarikat itu telah memindahkan RM40 juta kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd pada 24 Disember 2014.

Kedua-dua Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana ialah subsidiari SRC International.

Pengurus bank: SRC arah transaksi RM40 juta

2.55pm: Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi mengesahkan pengurus perhubungan bank itu Krystle Yap menghantar emel bertarkih 24 Dis 2014, meminta cawangan itu mematuhi surat arahan daripada SRC International untuk memindahkan RM40 juta daripada akaunnya ke akaun Gandingan Mentari.

Gandingan Mentari ialah subsidiari SRC International.

Ketika soal balas dengan DPP Suhaimi, Uma yang membaca keterangannya berkata Ambank Raja Chulan menerima arahan itu yang berdasarkan surat SRC yang ditandatangani Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md Yassin.

Menurut Uma dalam sesi sebelumnya, Nik Faisal dan Suboh adalah antara lima penandatangan akaun semasa SRC International.

"Krystle Yap ialah salah seorang pengurus perhubungan yang bekerja di sana (Ambank cawangan Raja Chulan)," katanya lagi.

Saksi: Akaun Ambank SRC ada lima penandatangan sah

12.30pm: Pengurus Ambank Raja Chulan, R Uma Devi dalam keterangannya berkata dua akaun semasa SRC International di Ambank dibuka di cawangan itu pada 2011.

Dia memberitahu DPP Suhaimi bahawa syarikat itu membuat permohonan melalui borang pembukaan akaun bertarikh 10 November 2011.

"SRC menamakan lima penandatangan sah (untuk pembukaan akaun semasa) tandatangan spesimen diberikan kepada Ambank.

"Penandatangan itu ialah Ismee Ismail, Che Abdullah Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Nik Faisal Ariff Kamil dan Suboh Md Yassin," katanya.

Dia membuat keterangan dengan membaca kenyataan dan dijangka meneruskannya apabila perbicaraan disambung setelah rehat tengah hari.

R Uma Devi

Debat hangat isu transaksi Ihsan Perdana 

11.50am: Berlaku debat hangat antara pasukan pendakwaan dan pembelaan sama ada Rosaiah patut mengemukakan dokumen berkaitan transaksi jutaan ringgit melibatkan akaun Ihsan Perdana di Affin Bank.

Peguam bela Harvinderjit Singh berkata transaksi berkaitan mesti dilihat secara menyeluruh kerana SRC International, Gandingan Mentari antara pengeluar cek.

Ihsan Perdana dan Gandingan Mentari ialah anak syarikat SRC International.

Harvinderjit merujuk kepada transaksi 11 cek yang menyaksikan aliran masuk dan keluar berjuta-juta ringgit ke akaun Ihsan Perdana di Affin Bank.

Ia tidak secara khusus berkaitan tujuh pertuduhan terhadap Najib.

“Oleh kerana sumber dana dokumen pada dokumen (yang dimahukan pasukan pembelaan), dan berpunca dari SRC, wajar untuk mengetahui dari mana cek (dari Ihsan Perdana) itu pergi,” katanya.

Havinderjit Singh

“Terdapat orang dalam SRC dan Gandingan Mentari menjalankan urusan yang dipersoalkan secara serius, yang wang dari SRC kepada beralih beberapa entiti dan berakhir pada penerima tidak diketahui.

“Sebahagian (didakwa) berakhir pada Najib tetapi jumlah lebih besar pergi kepada penerima yang tidak diketahui,” kata Harvinderjit.

Pendakwa raya V Sithambaram berhujah balas bahawa pertuduhan semasa hanya melibatkan wang RM42 juta SRC.

Katanya lagi, mahkamah tidak menjalankan inkuiri berkaitan bagaimana dana-dana lain tidak berkaitan kepada pertuduhan itu dibelanja atau digunakan.

“Jika kita ikut ini, dengan bank lain terlibat, kita akan tak tentu hala tuju dan tidak relevan dengan pertuduhan,” kata Sithambaram.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pasukan pembelaan tetapi mengehadkan kepada transaksi RM10 juta akaun Ihsan Perdana di Affin Bank.

10.20am: Saksi ke-20, Rosaiah Muhammad Rosli mengesahkan Ihsan Perdana terima RM50 juta.

Saksi ke-20 itu berkata akaun Affin Bank Ihsan Perdana dimasukkan wang berjumlah RM40 juta (24 Disember 2014), RM5 juta (5 Februari 2015) dan RM5 juta (6 Februari 2015).

Rosaiah yang bekerja sebagai pegawai proses Affin Bank juga mengesahkan kepada DPP Suhaimi bahawa akaun Ihsan Perdana dengan bank itu dikreditkan dengan bayaran dariada akaun AmIslamic Gandingan Mentari.

Rosaiah Muhammad Rosli

Antara tugasnya di Affin Bank ialah mengendalikan pemindahan elektronik.

Dia turut mengesahkan Affin Bank menerima pengesahan kredit tunggal untuk tiga transaksi itu.

Ihsan Perdana dan Gandingan Mentari ialah subsidiari SRC.

10.06am: Bekas pekerja CIMB sahkan cek RM2.5 juta

Saksi ke-19 Edward Innasi - yang merupakan timbalan pengurus CIMB pada 2015 - mengesahkan cek RM2.5 juta itu ditunaikan bank pada tahun itu.

Dia berkata demikian selepas DPP Saifuddin menunjukkan cek tersebut.

9.45am: Ashraf berkata dia telah memberi keterangan kepada SPRM.

Ketika sesi soal balas dengan peguam bela Muhammad Shafee, dia berkata ia dibuat sebanyak beberapa kali dan secara bertulis pada 2017 dan 2018.

“Saya dipanggil beberapa kali. Dan saya tandatangan kenyataan saya sebanyak dua kali. Saya juga ditanya berkenaan cek yang sama," katanya.

Dia juga berkata Habibul memperkenalkan banyak klien kepadanya dan masih berhubung dalam hal berkaitan Fuel Subs House Sdn Bhd.

Dia juga berkata menerima dana daripada Habibul kira-kira sepuluh kali antara 2013-2015, tetapi jumlahnya kurang berbanding cek pada 2015 itu.

Shafee: Kamu sahabat kepada Habibul?

Ashraf: Selagi mana saya boleh.

Shafee: Selagi kamu masih selesa?

Ashraf: Tepat, Tan Sri.

Shafee: Kamu tahu Habibul seorang penganalisis politik, bukan cerita kedai kopi.

Ashraf: Ya, Tan Sri.

Shafee: Kamu tahu Habibul menyediakan nasihat politik, dan mengambil bahagian dalam program yang melaksanakan analisis beliau?

Ashraf: Saya tak tahu Tan Sri.

9.30am: Saksi kata terima kontrak RM2.5 juta

Saksi ke-18, peguam Ashraf Abdul Razak, dalam keterangannya berkata firma guaman tempatnya pernah berkhidmat dulu, Zulqarnain and Co, menerima kontrak pertahanan bernilai RM2.5 juta pada 2 Februari 2015.

Ashraf yang kini memiliki firma guaman sendiri memberitahu DPP Saifuddin bahawa dia mendapat cek daripada Habibul Rahman Kadir, seorang tokoh korporat yang dikenali.

Menurutnya, Habibul terlibat dalam syarikatnya Fuel Subs House Sdn Bhd.

"Ia untuk tender menguruskan subsidi petrol.

"Pada masa itu, Habibul beritahu saya bayaran untuk satu kontrak pertahanan," katanya.

9.26am: Perbicaraan bermula

Perbicaraan hari ke-8 bermula dengan Najib memasuki kandang tertuduh.

8.45am: Najib tiba di Mahkamah Tinggi KL

Dengan bersut berwarna coklat pudar, bekas perdana menteri Najib Razak tampak tenang ketika melangkah masuk ke mahkamah.

Beliau mengambil tempat di barisan depan galeri awam, sementara menunggu perbicaraan bermula.

Beliau dilihat bersalam dengan pegawai polis di mahkamah.


Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

Perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari kelapan.

Najib dibicarakan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan; tiga pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Anti-Keganasan, dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001; dan satu pertuduhan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara; sebat dan denda untuk pertuduhan pecah amanah jenayah; 20 tahun penjara dan denda tidak kurang lima kali nilai terlibat atau RM10,000 - mana-mana yang lebih tinggi - untuk pertuduhan salah guna kuasa; dan 15 tahun penjara dan denda sehingga RM15 juta atau lima kali nilai terlibat - mana-mana yang lebih tinggi - untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan dikendali hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan dijangka bermula pukul sembilan pagi hari ini, dengan keterangan saksi yang mungkin menyentuh penerimaan wang oleh beberapa entiti - berkaitan politik mahupun bukan - daripada akaun Ambank yang dikaitkan dengan kes SRC International.

Hari ini, pendakwaan mungkin memanggil saksi yang dikaitkan dengan entiti tersebut, antaranya Solar Shine Sdn Bhd, Zulqarnain & Co, ahli perniagaan Lim Soon Peng, firma undang-undang Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd yang merupakan syarikat berkaitan SRC.

Jumaat lalu, saksi kelima pendakwaan Badrul Hisham Mohamad, bekas pengurus di AmBank, dalam keterangannya berkata antara 17 bank AmIslamic yang ditunaikan pada 2015 termasuk RM1 juta kepada Upko, RM1 juta kepada unit komunikasi Umno Pulau Pinang, RM300,000 kepada Umno Johor Bahru, dan RM50,000 untuk ketua Umno Padang Serai Asmadi Abu Talib.

Badrul Hisham mengesakan perkara itu selepas ditunjukkan cek-cek tersebut, yang merupakan antara dokumen yang diambil ketika penggeledahan Bank Negara di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan, pada 6 Julai 2015.

Semalam, mahkamah mendengar keterangan daripada empat saksi yang menyentuh sebahagian alirang wang daripada akaun Ambank.

Saksi ke-14, Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd (Cense) Rita Sim Sai Hoon berkata dia menerima sejumlah RM300,000 daripada Najib untuk membuat pemantauan dan analisis harian terhadap laporan akhbar berbahasa Cina daripada Disember 2014 hingga Januari 2015.

Saksi ke-16, Adun Layang-layang Onn Hafiz Ghazi pula berkata dia dibayar RM240,000 oleh tertuduh melalui Vital Spire Sdn Bhd untuk mengendalikan laman berita Malaysian Digest yang kini tidak lagi beroperasi.

Peguam Negara Tommy Thomas dijangka mengetuai pasukan pendakwaan, dianggotai timbalan pendakwa raya (DPP) Sulaiman Abdullah, V Sithambaram, Manoj Kurup, Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Suhaimi Ibrahim, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Budiman Lutfi Mohamed, Mohd Ashraf Adrin Kamaril, Muhammad Izzat Fauzan, dan Mohd Ashraf Adrin Kamaril.

Najib pula diwakili pasukan peguam bela seramai 13 orang, diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam lain ialah bekas peguam cara II Mohd Yusof Zainal Abiden, Harvinderjit Singh, Kamarul Hisham Kamaruddin, Chong Loong Men, Devanandan S Subramaniam, Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS