Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakan Najib guna firma guaman terima RM2.5 juta, kata saksi

Nota editor: Pasukan peguam bela pada 25 April 2019 memberitahu mahkamah berkenaan kesilapan dalam perenggan lima laporan ini. Kesilapan telah dibetulkan. Saksi pendakwaan Ashraf Abdul Razak tidak merujuk kepada Najib Razak dan keluarga Najib semasa memberi keterangan. Saksi juga hanya menyatakan beliau menandatangani satu nota sebagai mengaku terima cek tersebut sahaja. Malaysiakini memohon maaf kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pihak yang terbabit dan para pembaca.

KES NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa seorang tokoh korporat terkemuka yang rapat dengan Najib Razak menggunakan sebuah firma guaman untuk menerima pembayaran cek berjumlah RM2.5 juta pada 2015 daripada bekas perdana menteri itu.

Peguam Ashraf Razak, yang merupakan saksi ke-18 pendakwa, mengesahkan bahawa pelanggannya, Habibul Abdul Rahman menyerahkan cek daripada Najib yang dibuat kepada firma guaman Tetuan Zulqarnain & Co.

Ashraf berkata beliau kemudian diminta menandatangani satu nota sebagai pengakuan terima cek tersebut bagi yuran kontrak pertahanan.

Selepas firma guaman itu menunaikan cek berkenaan, Ashraf, yang merupakan rakan kongsi di Tetuan Zulqarnain & Co, memberi keterangan bahawa Habibul mengarahkan supaya cek dikeluarkan untuk isteri dan anak-anaknya.

"Habibul arahkan keluarkan cek-cek untuk isteri beliau dan anak-anak beliau. Kemudian dia arahkan saya keluarkan cek-cek lain untuk pihak lain beliau tentukan, serta cek tunai," katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, bagaimana beliau mengenali Habibul Rahman, Ashraf menjawab: “Saya adalah peguam peribadi kepada tokoh korporat itu sejak tahun 1996.”

Saifuddin: Boleh beritahu mahkamah, bagaimana kamu terima cek ini?

Ashraf: Saya dimaklumkan oleh Habibul terdapat pembayaran bagi yuran kontrak pertahanan, di mana saya diminta untuk menerima pembayaran itu.

Dia (Habibul) kemudian memaklumkan pecahan pembayaran akan diteliti kepada saya.

Saifuddin: Selepas terima cek apa berlaku?

Ashraf: Selanjutnya saya depositkan cek itu dan tunggu arahan daripada Habibul Rahman untuk mengeluarkan pembayaran daripada wang berkenaan.

"Arahan secara berkala juga diberi untuk mengeluarkan cek kepada pihak lain yang ditentukan oleh beliau serta beberapa cek tunai,” katanya pada perbicaraan kes yang masuk hari kelapan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Saifuddin: Pernah bertanya kepada beliau siapa yang keluarkan cek?

Ashraf: Tak pernah... sebab saya sudah lama kenal beliau (Habibul) dan disebabkan kedudukannya yang disegani sebagai tokoh korporat dan ahli pengarah beberapa syarikat berkaitan kerajaan. Jadi, saya tidak pernah terfikir untuk bertanya.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata, semua pembayaran berjumlah RM2.5 juta itu sudah dilunaskan termasuk bayaran guaman kepada pihaknya yang berjumlah RM50,000.

Saifuddin: Kamu uruskan sampai habis RM2.5 juta itu?

Ashraf: Ya... semua pembayaran berjumlah RM2.5 juta itu sudah dilunaskan termasuk yuran guamannya berjumlah RM50,000.

Sementara itu semasa pemeriksaan bals oleh peguam pembelaan utama, Muhammad Shafee Abdullah, saksi berkata terdapat satu lagi kejadian di mana dia menerima wang bagi pihak Habibul.

Katanya, ini membabitkan sebuah syarikat yang dikenali sebagai Fuelsubs House Sdn Bhd, yang menguruskan subsidi minyak.

Adalah juga difahamkan semasa pemeriksaan balas itu bahawa Habibul adalah seorang akauntan bertauliah dan penganalisis politik.

Shafee: Bila kamu sembang dengan dia, kamu tahu pengetahuannya dalam analisis politik (adalah) mendalam. Bukan sembang kedai kopi.

Ashraf: Ya.

Shafee: Kamu tahu dia juga buat perkhidmatan dalam analisis politik, aspek strategik dan nasihat.

Ashraf: Ya

Shafee: Dia berkali-kali terlibat dalam program laksanakan analisis dia?

Ashraf: Tidak dalam pengetahuan saya.

Shafee: Dia ada pelbagai projek and salur untuk advisory work?

Ashraf: Ada.

Shafee: Oleh sebab itu, mungkin Ashraf lupa apa Habibul kata on P84 untuk apa?

Ashraf: Tidak, saya jelas dia kata pada saya ini untuk defence contract beliau.

Shafee kemudiannya mencadangkan bahawa Habibul terlibat dalam banyak perniagaan dan Ashraf keliru dengan tujuan cek bernilai RM2.5 juta itu. Walau bagaimanapun, saksi itu tetap berpegang kepada apa yang dinyatakannya sebelum ini.

Habibul, dikatakan adalah penasihat media Najib dan sentiasa berperwatakan rendah.

Beliau dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif di Malaysia Airlines (MAS) pada September 2017. Dua minggu kemudian, Ireland Peter Bellew meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MAS.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS