Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Sangat bahaya - bukan Islam berani sentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu’
Diterbitkan:  Apr 24, 2019 1:59 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Kalangan bukan Islam hari ini mula berani mempertikaikan kedudukan Islam dan Raja-Raja Melayu, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Hari ini kita melihat terdapat dalam kalangan bukan Islam berani menyentuh perkara agama Islam, yang bukan hak mereka untuk menyentuh perkara tersebut.

“Kadang-kadang melibatkan hukum yang tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam, termasuklah dalam masalah institusi Raja-Raja sendiri, ada yang berani menulis melalui media sosial.

“Ini sangat bahaya kerana menjadikan kefahaman generasi muda bercelaru. Oleh sebab itu, perlu diperbetulkan keadaan ini,” katanya menerusi hantaran di klip video selama 14 saat di laman Facebook.

Dalam video itu, Hadi sedang diwawancara dan diajukan soalan mengenai isu berkaitan Islam dan Raja-Raja Melayu di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Presiden PAS itu ditanya mengenai suara bukan Melayu yang semakin lantang menentang kedudukan Islam dan Raja-Raja.

Mengulas lanjut, Hadi berkata isu-isu berkenaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara yang sudah ada dalam perlembagaan yang merupakan satu kontrak sosial.

"Ia melibatkan kaum-kaum yang teras dalam masyarakat majmuk, yang diwakili dan melalui parti-parti politik pilihan raya di bawah Perikatan itu dan PAS...," katanya.

Perikatan adalah gabungan sebelum BN, yang memerintah Malaysia dari zaman kemerdekaan sehingga pilihan raya umum yang lalu. Perikatan terdiri daripada Umno, MCA dan MIC.

Dalam tempoh itu, Hadi berkata terdapat pemahaman yang lebih besar mengenai semangat Perlembagaan Persekutuan.

"Sebab itu, walaupun mereka (bukan Islam) tidak berpuas hati, mereka memandang kehebatan teras perlembagaan, kebesaran raja-raja, kehebatan Islam dan orang Melayu itu sendiri.

"Jadi walaupun ada perkara yang tersinggung, mereka tidak berani (menyuarakan rasa tidak puas hati) berbanding sekarang ini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS