Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shahidan lepas kes cabul budak, pengadu enggan teruskan kes
Diterbitkan:  Apr 24, 2019 2:01 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Bekas menteri undang-undang dan menteri besar Perlis Shahidan Kassim dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan mencabul seorang remaja perempuan 15 tahun, di Mahkamah Sesyen Kangar,

Peguamnya Zamri Ibrahim berkata Hakim Ainul Shahrin Mohamad berkata Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan tidak berhajat meneruskan kes.

Zamri Ibrahim berkata mangsa tidak mahu disoal dalam perbicaraan yang diadakan secara tertutup, lapor agensi berita nasional Bernama.

“Hari ini sepatutnya mangsa yang merupakan saksi pendakwaan kelima memberi keterangan,” beliau dipetik sebagai berkata.

“Mangsa sebelum itu telah mengesahkan laporan polis yang dibuat mengenai kes itu tetapi kemudiannya beritahu mahkamah beliau tidak mahu disoal dan tidak mahu teruskan kes.”

Zamri berkata pihak pendakwaan kemudian memaklumkan kepada mahkamah mereka tidak berhajat memanggil saksi seterusnya dan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Dilepaskan tanpa dibebaskan bermaksud tertuduh boleh dikenakan semula pertuduhan.

Shahidan, 68, dituduh melakukan amang seksual dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang remaja perempuan dalam kereta di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra Kangar pada 20 Oktober 2018 kira-kira 11.30 malam.

Dia didakwa bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Mohd Nordin Ismail.

Apa kata Shahidan? 'Saya berpuasa'

Sementara itu, Bernama melaporkan Shahidan ketika diminta mengulas mengenai keputusan mahkamah itu hanya berkata: “saya berpuasa, saya orang Islam.”

Dia memakai songkok dan kemeja putih ketika hadir ke mahkamah hari ini.

Perbicaraan yang bermula semalam telah memanggil dua saksi pendakwaan. Hari ini mahkamah mendengar keterangan dua saksi yang memberikan keterangan di mahkamah terbuka.

Selepas itu mangsa sebagai saksi pendakwaan kelima dipanggil memberikan keterangan secara tertutup.

Terdahulu pegawai Cawangan Khas (SB) ibu pejabat polis daerah (IPD) Kangar Inspektor Norzuki Husin dalam keterangannya berkata tidak mengetahui kes itu secara jelas sehingga diberitahu rakannya, Saiful Anuar Abdul Hamid.

Saiful Anuar ialah anggota kumpulan Buskers DSSK yang turut dianggotai pengadu.

Norzuki berkata beliau tidak mempengaruhi keluarga remaja perempuan itu membuat laporan polis dan hanya membaca laporan yang dibuat pengadu semasa di balai polis keesokannya (21 Oktober 2018).

Saksi lain, Inspektor Abdul Fatah Abdul Manaf yang juga penyiasat kes, dalam keterangannya berkata dia merakam percakapan pengadu pada awal pagi 21 Oktober dan kali kedua pada 11 pagi selepas datang untuk menarik balik aduan.

Abdul Fatah bagaimanapun berkata hanya mengendalikan kes itu selama seminggu selepas diarahkan menyerahkannya kepada pegawai dari ibu pejabat polis kontinjen Perlis.

Dalam perbicaraan hari pertama semalam, saksi berpendapat sesuatu luar biasa berlaku apabila bapa remaja itu tiba-tiba mengajak pulang sebaik dimaklumkan sesuatu oleh ibunya selepas anak mereka keluar dari kereta Shahidan.

Saksi lain berkata dia melihat remaja itu berjalan agak laju semasa keluar dari kereta dan hampir menangis semasa menceritakan kejadian di dalam kenderaan itu.

“Dia cakap kat mak dia, dia dipegang di bahu dan tangan kiri oleh DSSK (gelaran untuk Datuk Seri Shahidan Kassim).

"Saya juga dengar bapanya cakap: Malam ni pi rumah DSSK pun tak apa.” Ini ayat-ayat marah setelah mendapat tahu kejadian pegang bahu anaknya itu daripada isteri beliau,” kata Adzleen Junaira Mohd Nasir.

Lihat Komen
ADS