Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemangku pengarah CID ketuai misi buru suami Indira

Pasukan petugas khas yang baru dibentuk bagi menjejaki bekas suami Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah dan anak perempuan mereka, Prasana Diska akan diketuai oleh Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Huzir Mohamed.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun selepas mengesahkan polis telah bertemu dengan Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) minggu lalu.

"Kita berjumpa dengan NGO yang mengendalikan kes ini dan peguam yang berkaitan. 

"Kita ada bertukar-tukar pandangan dan maklumat dan kita dah jelaskan tindakan-tindakan yang dah diambil " katanya dalam satu sidang media di Pusat Latihan Polis di Kuala Lumpur hari ini.

Jumaat lalu, ketua INGAT Arun Dorasamay berkata Fuzi telah memberitahu mereka semasa pertemuan di Bukit Aman bahawa pasukan petugas khas itu dibentuk untuk mengesan suami Indira dan anaknya.

Indira turut hadir pada pertemuan tersebut.

Kes perundangan yang panjang antara Riduan dan Indira mengenai hak penjagaan anak mereka sebelum ini melibatkan mahkamah syariah dan sivil.

Riduan meninggalkan rumah bersama anak perempuan mereka yang berusia 11 bulan, Prasana pada tahun 2009. 

Fuzi berkata setakat ini polis tidak mendapat petunjuk mengenai lokasi Riduan dan telah mencarinya di beberapa lokasi termasuk Thailand.

"Ada (juga) yang kata di Johor, Kelantan. Kita dah melawat tapi malangnya, tak ada indicator mereka berada di tempat yang dinyatakan," katanya.

Sementara itu, Fuzi berkata beliau telah mengarahkan polis meningkatkan kawalan keselamatan terutama di Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka berikutan serangan pengeboman di negara itu baru-baru ini.

"Kita dah bagi arahan pada semua polis negeri, kita tak boleh pandang mudah,  takut ada retaliation dari pihak tertentu, termasuk di kedutaan Sri Lanka di negara kita," katanya.

Ahad lalu, pengebom bunuh diri melakukan serangan dengan mensasarkan gereja-gereka dan hotel mewah di Sri Lanka, menyaksikan 290 orang terkorban manakala lebih 500 yang lain cedera.

Lihat Komen
ADS