Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Saksi penting kehilangan Amri Che Mat bukan polis

Bekas pegawai kontrak Cawangan Khas (SB) yang dikatakan menjadi saksi penting kehilangan aktivis Amri Che Mat bukan seorang polis, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada polis akan menyiasat atau mengeluarkan waran tangkap terhadap individu itu agar memberi kerjasama dalam siasatan polis.

"Dia bukan polis. Dia seorang penjawat awam bekerja dengan polis dan telah berhenti kerja," katanya ketika sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Berkenaan sama ada polis akan mengeluarkan waran tangkap terhadap individu bernama Saiful Bahari itu, Fuzi berkata: "Kita telah selesaikan siasatan dan merujuknya kepada timbalan pendakwa raya (DPP). Kami menunggu arahan DPP seterusnya."

Amri Che Mat

Awal bulan ini, inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyimpulkan Amri dan paderi Raymond Koh menjadi mangsa kehilangan paksa.

Amri hilang pada 2016 manakala Koh setahun kemudian.

Tigal panel Suhakam itu sebulat suara menyimpulkan anggota SB Bukit Aman bertanggungjawab terhadap perkara itu.

Panel juga mendakwa polis membuat "usaha terancang untuk mengaburkan kaitan" dengan Saiful yang enggan memberi keterangan dalam pendengaran awam tersebut.

Kereta Saiful - Toyota Vios berwarna emas - dilihat beada di luar rumah Amri untuk tiga hari berturut-turut sebelum kehilangannya.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata polis bersikap lengah dan sambil lewa dalam siasatan terhadap kehilangan itu.

Pada 6 April lalu, Fuzi menyuarakan kekecewaannya terhadap Suhakam yang menghebahkan laporan inkuiri kepada umum.

"...Suhakam tidak sepatutnya menghebahkan laporan hasil inkuiri awam kes ini kepada umum dan ia seharusnya diserahkan kepada PDRM, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa lain yang berkaitan,” katanya.

Fuzi yang dijadual bersara bulan depan merupakan pengarah SB Bukit Aman ketika kehilangan itu berlaku.

Lihat Komen
ADS