Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Setahun PH: 'Sekolah masa depan' antara pencapaian KBS - Syed Saddiq

Program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) antara pencapaian terbaik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah teraju pentadbiran kerajaan PH sejak setahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata atas usaha keras yang dilakukan kementerian, pihaknya juga mampu mengurangkan kos tiga kali ganda berbanding Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

“Program ini memang diwujudkan untuk melahirkan pimpinan anak muda yang berwawasan.

“Kami menyumbang banyak masa dan usaha untuk pastikan pencapaian ini terhasil dah paling penting kita berjaya mengurangkan kos perlaksanaanya tiga kali ganda lebih murah berbanding kos PLKN sebelum ini,” katanya.

Katanya lagi, program tersebut mampu memberi impak yang besar kepada belia selain lagi ia dilaksanakan tanpa sebarang campur tangan politik.

“Bila kita merangka modul MFLS kita pastikan ia tidak ada campur tangan politik atau fokus politik seperti mana Biro Tata Negara (BTN),” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian dalam sidang media khas sempena setahun kerajaan Pakatan Harapan di Menara KBS, Selasa lalu.

Tak mahu 'hipokrit'

Selain itu, MP Muar itu juga turut menyenaraikan perlaksanaan Projek Reben Kuning yang memberi peluang pekerjaan kepada bekas sekolah pemulihan dan banduan sebagai antara kejayaan terbesar kementerian itu.

“Ini bukan kempen retorik sahaja kerana banyak perubahan dilakukan melaluinya. Fungsi kempen ini adalah untuk membantu belia berisiko dalam memberikan mereka peluang kedua dalam bidang pekerjaan.

“Malaysia adalah negara pertama yang melaksanakannya dan projek ini kita laksanakan dengan kolaborasi Kementerian Kewangan.

“Usaha ini dilaksanakan bagi memberi peluang kedua kepada bekas penghuni sekolah pemulihan akhlak dan bekas banduan untuk menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan,” katanya.

Syed Saddiq menarik perhatian bahawa kerajaan akan dilihat bersifat 'hipokrit' jika mahu pihak swasta mengambil mereka bekerja namun ia sendiri tidak berbuat demikian.

Syed Saddiq berkata, KBS sendiri telah menyerap beberapa bekas penghuni Sekolah Henry Gurney berkhidmat dalam kementeriannya.

Menteri termuda PH itu turut berkongsi kejayaan KBS yang lain antaranya melaksanakan beberapa inisiatif dalam membela isu kebajikan para atlet dan bekas atlet negara.

“Pada awalnya untuk melaksanakan skim kesihatan khas ini agak sukar kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi dan sukar untuk menentukan atlet mana yang layak.

“Tapi sekiranya para atlet ini kita tidak berikan jaminan kesihatan, kita tidak nafikan satu hari nanti ibu bapa tidak akan akan mahu anak mereka serta bidang sukan profesional.

“Sebagai contoh, bagi atlet gimnastik yang mula menjalankan latihan insentif seawal usia 10 tahun, sudah tentu mereka ini perlukan satu jaminan yang berbaloi dengan usaha mereka,” katanya.

Beliau turut menyentuh soal pendidikan, Syed Saddiq berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Kementrian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menyediakan ruang khas buat atlet muda mendapatkan tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Hampir 90 peratus atlet muda bawah 18 tahun membuat permohonan masuk ke IPTA terus diberikan tempat untuk belajar walaupun dari segi pendidikan tidak sehebat yang lain. Bagi saya ini satu pencapaian terbaik.

“Semua ini berkaitan dengan ekosistem sukan. Selain menyediakan kemudahan perubatan dan kesihatan kepada atlet dan bekas atlet kebangsaan, suntikan dana khas sebanyak RM3 juta juga diberikan kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb),” katanya.

Lihat Komen
ADS