Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Membenci usah berhabis-habisan
Diterbitkan:  Apr 25, 2019 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Menjelaskan sikap semasa PAS terhadap Umno, Abdul Hadi Awang memetik sepotong hadis Nabi Muhammad SAW sebagai sandaran mereka.

Kata presiden PAS itu umat Islam mesti berpegang kepada apa yang disebut nabi, iaitu tidak membenci seseorang secara berhabis-habisan.

Hadis yang dirujuk Abdul Hadi itu ialah kata-kata yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud: "Kamu kasih kepada seseorang jangan kasih sehabis-habisnya. Kita tidak tahu apa akan datang berlaku. Boleh jadi satu hari, orang yang kamu kasih itu jadi musuh kepada kamu. Dan bermusuh dengan seorang berpada-pada. Jangan habis-habisan. Boleh jadi satu hari nanti orang yang kamu musuhi itu jadi orang yang paling kasih kepada kamu."

Bagaimanapun Abdul Hadi mengakui ada sesetengah ulama berpendapat ungkapan itu bukanlah hadis Rasulullah SAW sebaliknya kata-kata sahabat baginda.

Terdahulu Abdul Hadi menjelaskan semasa menghadiri sesi dialog di Perak minggu lalu beliau ditanya mengenai kedudukan PAS dan Umno selepas kedua-dua parti berseteru sengit sebelum ini.

Kata anggota parlimen Marang itu permusuhan di antara kedua-dua parti bukan saja disebabkan oleh pihak Umno malah PAS turut menyumbang kepada keadaan itu.

"Pertama, kita kena sedar latar belakang (permusuhan) ini bukan sahaja Umno, PAS pun ada latar belakang.

"Dalam PAS, ada yang tengah-tengah kuat PAS, akhirnya lari daripada PAS. Manusia boleh berubah bila-bila masa," katanya melalui hantaran di media sosial hari ini.

Justeru Abdul Hadi mengajak orang ramai agar melihat isu itu tidak dengan hukum akal, sebaliknya "hukum Allah" yang mengajar manusia untuk menarik orang lain ke arah kebaikan.

Selain itu kata Abdul Hadi, menjadi tanggungjawab seseorang Muslim untuk tidak menghukum seseorang yang dilihat melakukan kesalahan, sebaliknya menasihati mereka agar kembali ke pangkal jalan.

Katanya nasib akhir seseorang pada masa depan terletak dalam urusan Allah, dan bukannya manusia.

Untuk rekod hubungan mesra PAS dan Umno semakin erat dari sehari ke sehari di sebalik sejarah panjang perseteruan kedua-dua parti sebelum ini.

Persaingan beberapa dekad lampau turut menyaksikan pertikaian sehingga membabitkan kejadian berdarah, selain perpecahan di peringkat keluarga dan masyarakat.

Perselisihan itu lebih ketara di Pantai Timur berbanding Pantai Barat.

Pada masa sama kerjasama erat PAS dan Umno pelbagai peringkat dilihat berlaku secara terbuka dan meriah di kawasan Pantai Barat, manakala di Pantai Timur masih berhati-hati.

Kata Abdul Hadi PAS juga bertanggungjawab mengajak seramai mungkin manusia kepada Islam.

"Dalam Islam, membetulkan orang hendaklah diutamakan daripada menghukum orang.

"Jangan menghukum dulu, kalau boleh biar orang itu kembali ke pangkal jalan. Ini tanggungjawab kita," katanya.

Beliau juga memetik kisah Nabi Muhammad menerima keislaman pembunuh Sayidina Hamzah iaitu Wahsyi yang mengucap kalimah syahadah.

"Orang yang membunuh ialah Wahsyi, dan yang dibunuh ialah Sayidina Hamzah.

"Wahsyi yang membunuh masuk syurga. Sayidina Hamzah yang kena bunuh masuk syurga. Kerana Wahsyi akhirnya kembali kepada Islam. Ini langkah yang sebaik-baik kita kena ambil," katanya.

Tidak ketinggalan, Abdul Hadi berkata, PAS hanya boleh menilai berdasarkan apa yang terpapar pada zahir saja.

Justeru katanya keadaan itulah yang menyaksikan ada orang yang kuat berjuang bersama PAS namun sebelum meninggal dunia individu terbabit melawan PAS.

"Ada orang, dia lawan kita (tapi) saat akhir dia jadi baik dengan kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS