Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Hampir setahun menjawat jawatan menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifuddin Nasution Ismail menilai prestasi dirinya sendiri sebagai 6.5 persepuluh mata.

“Agenda (kementerian) belum cukup dan memadai.

“Masih perlu banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di kementeriannya sempena setahun Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, di Putrajaya kelmarin.

Namun begitu, beliau menjangkakan markah penuh dapat dicapainya tidak melebihi dua tahun.

Saifuddin berkongsi tiga perkara yang menurutnya menjadi pencapaian terbesar kementeriannya sepanjang setahun pentadbiran PH.

Tiga perkara tersebut adalah subsidi bersasar RON95 yang bakal dilaksanakan, pengenalan program Food Bank Malaysia dan analisis rantaian bekalan makanan.

Menurut Berita Harian pada 22 April lalu, PDNHEP kini sedang menunggu senarai penerima Bantuan Sara Hidup (SBH) sebagai asas kepada pengagihan subsidi bersasar RON95. Ia akan disalurkan ke akaun penerima yang layak.

Food Bank Malaysia pula merupakan program pengumpulan lebihan makanan seperti roti dan sayur dari pasar raya untuk diagihkan kepada isi rumah di bawah paras garis kemiskinan.

Menurut laporan, sejumlah 186,354 ketua isi rumah berpendapatan bawah RM940 bakal menerima manfaat daripadanya.

“Kalau ditanya dalam masa singkat, ini adalah satu pencapaian yang secara peribadi sangat dekat, bukan hanya kepada saya tetapi kepada kementerian ini,” kata Saifuddin.

Melalui program itu, katanya lagi, tiga perkara dicapai iaitu melahirkan sukarelawan, membantu golongan memerlukan dan mengelak pembaziran.

Satu lagi pencapaian yang disebutnya - analisis rantaian bekalan makanan - adalah untuk mengenal pasti peringkat rantaian yang sering berlaku pencatutan harga.

Beliau berkata ia dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan laporannya telah dibentang kepada jemaah menteri semalam.

“Analisis ini penting bagi membantu pihak kami memahami beberapa lapis rantaian yang terlibat sebelum harga akhir sampai kepada pengguna.

“Dengan ini, kami dapat melihat setiap elemen yang menyebabkan kenaikan harga,” katanya.

Rancangan seterusnya

Ketika ditanya berkenaan perkara yang belum sempat dilaksanakan KPDNHEP, beliau antara lain membangkitkan soal mengembangkan e-dagang yang menurutnya mampu menurunkan kos sara hidup.

"Pilihan yang kita ada ialah kembangkan e-dagang kerana ia boleh kurangkan lapisan dalam perniagaan. Bila rantaian menjadi kurang harga akhir akan lebih disenangi semua pihak," katanya.

Beliau berkata kementeriannya akan terus menumpukan perhatian kepada usaha menurunkan kos sara hidup dan memastikan kecekapan pelaksanaan subsidi barangan.

Lihat Komen
ADS