Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib dikelirukan dalam 7 tuduhan kes SRC - Peguam bela

KES NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan tujuh pertuduhan ke atasnya berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Menurut peguamnya Kamarul Hisham Kamaruddin, bekas perdana menteri itu terkeliru dengan kata-kata dalam kertas pendakwaan, menyebabkan berlakunya kesalah laksanaan keadilan (miscarriage of justice).

Kamarul ketika berhujah di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata kata-kata pertuduhan mengenai butiran kesalahan tidak memberikan makluman mencukupi kepada Najib untuk mengetahui apakah tuduhan terhadapnya dan menyediakan pembelaan secara wajar.

"Seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah menyatakan bahawa pertuduhan itu hendaklah mengandungi butiran mengenai cara kesalahan yang dikatakan itu dilakukan sebagai mencukupi.

"Di sini, tertuduh (Najib) tidak mempunyai notis yang mencukupi tentang apa yang dia dituduh selaku (ketika menjadi) perdana menteri," kata Kamarul kepada hakim Mohd Nazlan.

Pendakwaan berganda pada Najib

Peguam itu berhujah mengenal pasti butir-butir kesalahan yang dikatakan dalam pertuduhan merupakan suatu hal yang penting kerana ia bertujuan memastikan tertuduh mendapat perbicaraan yang adil selaras dengan Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Pihak pendakwa mesti menonjolkan (butir-butir mengenai kesalahan pelanggaran jenayah pecah Najib, penyalahgunaan kedudukannya sebagai perdana menteri dan pengubahan wang haram) supaya pasukan pembelaan dapat menyediakan suatu perbicaraan yang adil," kata Kamarul.

Perbicaraan SRC International ke atas Najib juga didengar hakim Nazlan. Bagaimanapun, pendengaran kes akan bersambung pada Isnin minggu hadapan.

Kamarul juga berkata pertuduhan ke atas Najib menyebabkan bekas perdana menteri itu terdedah kepada pendakwaan berganda kerana beliau dikenakan lebih daripada satu pertuduhan bagi kesalahan yang sama.

Peguam itu selanjutnya berhujah inilah yang dihadapi oleh Najib terhadap pertuduhan penyalahgunaan kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan juga untuk tiga tuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amlatfa).

Bagaimanapun, Timabaln Pendakwaraya (DPP) V Sithambaram membalas hujah Kamarul, menegaskan bahawa pasukan pembelaan Najib sendiri sejak awal lagi telah bersetuju untuk menyatukan tujuh pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu untuk dibicaran secara bersama.

Beliau berkata melalui sepucuk surat, pasukan peguam bela Najib telah memberikan persetujuan terhadap tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram untuk didengar bersama.

"Kepada rakan bijaksana saya (pasukan pembelaan) yang pada hari ini mengadu mengenai salah laku tuduhan adalah satu perkara yang hanya difikirkan kemudian," kata Sithambaram.

Sithambaram mengingatkan mahkamah bahawa pasukan peguam bela Najib boleh mendapatkan dokumen berkaitan kes itu dan cara mereka melakukan pemeriksaan balas sepanjang perjalanan perbicaraan SRC International menunjukkan tertuduh tidak pernah dikelirukan atau diprejudiskan oleh pertuduhan berkenaan.

Beliau berkata pihak pendakwaan telah membekalkan pembelaan dengan 35 jilid dokumen mahkamah yang berkaitan dengan kes tersebut.

"Pada akhir perbicaraan (boleh ditentukan) sekiranya terdapat prasangka. Tanpa mendengar bukti (dibentangkan oleh setiap saksi pendakwaan), usul ini adalah suatu yang pramatang," katanya.

"Pada peringkat ini, melainkan jika kes ini dengan jelas berlaku pelanggaran (crosses the line), perbicaraan (kes SRC Najib) perlu diteruskan dan rakan bijaksana saya (pasukan pembelaan) perlu terus bersabar dan menunggu sehingga ke akhir perbicaraan," kata DPP lagi.

Selepas serahan kedua-dua pihak kepada mahkamah, Nazlan menetapkan keputusan mengenai permohonan Najib hari ini akan dibuat pada Isnin minggu hadadapan, 29 Aril, jam 9 pagi.


Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram

 [Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS