Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kaji selidik: 46 peratus puas hati Dr M sebagai PM
Diterbitkan:  Apr 26, 2019 4:44 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Menjelang setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kajian oleh Merdeka Center mendapati hanya 46 peratus rakyat berpuas hati dengan kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Menurut Merdeka Center, kaji selidik setakat Mac itu menunjukkan kemerosotan berbanding kadar 83 peratus pada Mei lalu - sebaik selepas PH mengambil alih pentadbiran - dan 71 peratus pada Ogos lalu iaitu menjelang 100 hari pentadbiran.

Kadar itu bagaimanapun tinggi sedikit berbanding 38 peratus oleh bekas perdana menteri Najib Razak pada April tahun lalu.

Kadar puas hati terhadap pentadbiran PH juga merosot daripada 79 peratus pada 31 Mei 2018 kepada 39 peratus pada 11 Mac lalu.

Hala tuju salah?

Kemerosotan rasa tidak puas hati rakyat itu selari dengan peningkatan peratusan responden yang merasakan negara pada "hala tuju yang salah" - 46 peratus berbanding 24 peratus Ogos tahun lalu.

Sementara itu, jumlah yang merasakan sebaliknya - negara pada hala tuju betul - menurun daripada 55 peratus Ogos lalu kepada 34 peratus.

Keputusan mengikut kaum pula menunjukkan keyakinan di kalangan pengundi Melayu di tahap terendah, dengan hanya 24 peratus merasakan negara di landasan yang betul, manakala kaum India paling tinggi dengan 63 peratus.

Responden di Sabah dan Sarawak pula tampak lebih yakin, dengan 41 peratus merasakan negara di landasan betul berbanding 35 peratus yang merasakan sebaliknya.

Begitu juga dengan responden dalam kategori pendapatan isi rumah RM7,000 ke atas, dengan 54 peratus merasakan sedemikian.

Berbeza pula dengan responden di kawasan bandar dan luar bandar dan di semenanjung Malaysia secara keseluruhan, berkenaan hala tuju negara. Sejumlah 45 peratus responden di bandar berpandangan negatif (37 peratus sebaliknya), 48 peratus untuk luar bandar (30 peratus sebaliknya) dan 48 peratus untuk semenanjung Malaysia (33 peratus sebaliknya).

Keyakinan di kalangan responden berpendapatan lebih rendah juga rendah, terutama mereka yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,999 dan di bawah RM2,000. Peratusan yang merasakan negara di landasan yang salah masing-masing ialah 54 peratus (pendapatan RM2,000 hingga RM3,999) dan 52 peratus (pendapatan bawah RM2,000).

"Kemerosotan mungkin boleh dikaitkan dengan tiga faktor - tanggapan pengguna biasa terhadap keadaan ekonomi, tanggapan prestasi pentadbiran dan kebimbangan terhadap hak Melayu serta layanan sama rata terhadap kaum lain," kata Merdeka Center dalam kenyataannya.

Bagaimanapun, majoriti responden merasakan kerajaan perlu diberi lebih masa untuk menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan rayanya.

Menurut Merdeka Center: "Di sebalik kemerosotan, kaji selidik sama juga mendapati majoriti besar pengundi (67 peratus) setuju pentadbiran perlu diberi lebih masa untuk menunaikan janji pilihan raya.

"Angka ini juga termasuk majoriti 52 peratus pengundi Melayu yang lebih kritikal terhadap kerajaan baru."

Merdeka Center mengadakan kaji selidik dari 5 hingga 11 Mac, melibatkan 1,204 pengundi berusia 21 tahun ke atas.

Lihat Komen
ADS