GLOBAL | Komisi Pemilihan Umum (KPU) hari ini menafikan badan penyelenggara pilihan raya umum itu sengaja memperbesarkan isu jumlah kematian petugas mereka yang sehingga kini melebihi 200 orang.
Pesuruhjaya KPU Hasyim Asy'ari menjelaskan tuduhan itu jelas tidak menghargai jasa petugas badan terbabit yang bertungkus-lumus menjayakan pilihan raya umum pada 17 April lalu.
“Kami melakukan tugas dengan susah payah, ada yang keletihan, sakit dan meninggal dunia.
“Tuduhan ini seolah-olah kerja keras kami tidak membawa makna,” kata Hasyim di pejabat Badan Pengawas Pilihan RAya Umum (Bawaslu) di Jakarta hari ini.
Untuk rekod pelaksanaan pilihan raya umum di semua peringkat di Indonesia menyaksikan seramai 225 kakitangan pelaksana pilihan raya umum meninggal dunia atas pelbagai sebab, sebahagian daripada mereka kerana keletihan.
Pengiraan masih berlangsung
Sehingga kini proses pengiraan undi bagi pilihan raya presiden Indonesia dan pemilihan wakil rakyatnya masih berlangsung.
Mengikut kiraan terkini Joko Widodo sedang mendahului pencabarnya Prabowo Subianto.
Kata Hasyum pengiraan undi berjalan dengan baik di setiap daerah.
“Jika ada bukti (statement) yang menyebabkan isu ini terjadi, berikan kepada saya petunjuk itu,” katanya seperti dipetik CNN Indonesia.

Pada masa sama Hasyim berkata KPU boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah mereka sengaja mengada-adakan cerita kematian anggota petugas mereka.
“Kalau berasa sangsi akan keputusannya, laporkan saja kerana mereka mempunyai kuasa untuk membuat sekatan bagi pemecatan sementara,” katanya.
Sementara itu Penyelaras Jawatankuasa Pemilih Indonesia (TePI) Jerry Sumampouw berpendapat ada yang sengaja membuat tular mengenai isu kematian petugas tersebut.
Tambahnya, isu itu juga dibesarkan apabila dilaporkan kepada Bawaslu.
Jerry menganggap usaha itu antara penyebab masyarakat mula percaya akan pertuduhan palsu tersebut.
"Itu adalah imej yang digambarkan kepada orang ramai,” katanya.
Menurut Jerry, masyarakat harus bersikap lebih rasional dalam memahami isu ini dan menyifatkan peranan Tempat Pemungutan Suara (TPS) sangat penting.
“Pada pandangan saya, jika kita mahu menilai, kita perlu menilai dalam aspek yang betul, jangan lihat pada isu yang tidak benar (tidak comot sana comot sini),”katanya.
