Malaysiakini
BERITA

Takut serang balas, ramai umat Islam Sri Lanka tak tunai solat Jumaat

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Apr 2019, 3:03 petang

GLOBAL | Sebahagian umat Islam di Sri Lanka tidak bersembahyang Jumaat hari ini kerana bimbang serangan balas susulan pengeboman Hari Easter pada 21 April lalu.

Serangan di tiga gereja dan tiga hotel itu meragut lebih 300 nyawa. Kumpulan militan IS mendakwa bertanggungjawab atas kejadian itu.

Menurut laporan CNN Indonesia hari ini, ketua Masjid Jumma di Kolombo, Reyyas Salley berkata jumlah yang ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jumaat hari ini jauh berkurang daripada biasa.

Menurutnya, hanya kira-kira 100 yang hadir berbanding 700 orang pada kebiasannya.

Waktu sembahyang yang biasanya mengambil masa sejam juga dipendekkan kepada 15 minit sahaja, kata laporan itu.

"Kami mengatakan kepada para ekstremis bahwa kami tidak takut. Alasan utama kami (ke masjid) adalah kami ingin memanjatkan doa khusus untuk korban pengeboman gereja," katanya seperti dipetik.

Pengeboman berlaku di saat penganut Kristian berhimpun di gereja sempena Hari Easter.

Polis dilaporkan telah menahan 13 individu berhubung tragedi itu.

Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, jumlah jemaah di Kattankudy - kira-kira 330 kilometer dari Kolombo - tetap banyak seperti biasa.

AFP pula melaporkan badan Islam utama Sri Lanka, All Ceylon Jamiyathul Ullama, sendiri menasihatkan agar orang Islam agar menunaikan sembahyang di rumah.

Nasihat sama diutarakan Kardinal Gereja Katolik Sri Lanka Malcolm Ranjith yang meminta kegiatan agama di gereja dihentikan sehingga diberitahu kemudian.


Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.