Malaysiakini
BERITA

Anwar: Sokongan PH merosot kerana tunduk pada elit bandar

Diterbitkan
Dikemaskini 27 Apr 2019, 6:16 pagi

Kemerosotan sokongan dari kalangan masyarakat Melayu terhadap PH adalah kerana gabungan parti pemerintah itu "tunduk" pada golongan elit bandar, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar dipetik Channel News Asia sebagai berkata, PH seharusnya menumpukan pada isu-isu asas seperti yang dekat dengan masyarakat Melayu luar bandar seperti kenaikan kos sara hidup dan kejatuhan harga komoditi.

“Golongan elit bandar menetapkan keutamaan yang tidak dekat dengan masalah sebenar (golongan) miskin, dan pada masa sama, elit ini kelihatan mengabaikan masalah sebenar. Saya tak pernah dengar mereka bercakap tentang, kemiskinan, ketidaksamaan,” katanya dipetik berkata dalam forum di Singapura malam tadi.

Tambah Anwar, meskipun isu-isu seperti hak asasi manusia dan isu kebebasan kehakiman perlu ditangani segera, masalah utama rakyat Malaysia adalah masalah ekonomi.

"Kesusahan ekonomi adalah masalah nyata, kita perlu tanganinya,” kata ahli parlimen Port Dickson itu.

Kajian terbaru yang dibuat Merdeka Center menunjukkan keyakinan pengundi terhadap pentadbiran PH dalam mengurus ekonomi setakat bulan lalu jauh merosot berbanding ketika mula mengambil alih kuasa pada Mei 2018.

Badan kaji selidik pendapat awam itu mendapati kadar puas hati terhadap PH dalam soal ekonomi hanya 40 peratus, berbanding 56 peratus pada Mei 2018.

Kadar tidak puas hati dalam soal ekonomi pula meningkat dari 12 peratus ke 52 peratus untuk tempoh sama.

Antara isu utama yang dianggap penting oleh 1,204 responden kajian itu ialah inflasi (54 peratus), rasuah (23 peratus) dan soal hak Melayu atau layanan sama rata (23 peratus).

Sementara itu, Anwar berkata, masyarakat Melayu luar bandar juga bimbang dengan kemungkinan kerajaan menggubal dasar yang meminggirkan mereka.

Jelas Anwar, PH perlu meredakan kebimbangan ini dengan menjamin hak dan keistimewaan Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Di Malaysia, bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan. Tak jejaskan apa-apa jika kita menekankan bahawa semua rakyat Malaysia perlu menguasai bahasa Melayu," katanya.

Anwar menegaskan agar PH menangani isu berkenaan dengan segera bagi mengelak kebangkitan “pelampau kaum dan agama”.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.