Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
3 pemegang saham Maika Holdings fail saman, dakwa RM144j lesap

Syarikat itu ditubuhkan MIC pada 1983 berjaya mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 66,400 anggota masyarakat India, yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah.

Tiga pemegang saham Maika Holdings Bhd memfailkan saman di mahkamah berhubung dakwaan kehilangan dana berjumlah RM144 juta yang sepatutnya diagihkan kepada lebih 66,400 pemegang saham syarikat.

Dalam satu sidang media hari ini, P Punithan, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang turut bertindak sebagai koordinator bagi pihak pemegang saham mengesahkan bahawa tiga pemegang saham tersebut memfailkan satu kes saman pada 19 April di Mahkamah Tinggi (Dagang) Kuala Lumpur terhadap pemegang saham yang minoriti.

"Saya sebagai koordinator dalam kes ini mengesahkan bahawa tiga pemegang saham Maika Holdings yang masih tidak menjual saham mereka memfailkan kes terhadap Maika Holdings dan lima defedan yang lain.

"Tujuan kami adalah untuk ingin mengetahui kehilangan misteri beratus juta yang sepatutnya diagihkan kepada pemegang saham Maika Holdings," katanya kepada pemberita di Hotel Dynasty, pagi tadi.

Turut hadir, tiga pemegang saham yang juga plantif dalam kes ini SM Muthu, V Elango dan R Alameloo bersama peguamnya V Murali dan David Gurupatham.

Keuntungan jual harta syarikat

Sementara itu, selain Maika Holdings, lima defendan lain yang dinamakan dalam saman ini ialah syarikat G Team Resource & Holding Sdn Bhd, pengerusi eksekutif West Port Sdn Bhd, G Gnanalingam, pengasas bersama HSS Engineering Sdn Bhd, Kunasingam Sittampalam dan dua likuidator (penyelesai) Maika Holdings, T Arasu dan A Ramesh.

Punithan mendakwa selepas syarikat G Team membuat tawaran kepada Maika Holdings pada tahun 2010, mereka menawarkan harga RM0.80 sen untuk setiap saham.

"Daripada, 66,400 pemegang saham 93 peratus menjual sahamnya kepada G Team, manakala, hampir 5,000 pemegang saham atau tujuh peratusnya tidak menjual sahamnya atas pelbagai sebab," katanya.

Menurutnya, salah satu janji G Team yang diasaskan oleh Gnanalingam dan Kunasingam sebagai 'special purpose vehicle' untuk mengambil saham Maika Holdings mengisytiharkan bahawa sebarang keuntungan dan penjualan harta syarikat akan diagihkan di kalangan pemegang saham asal dana tersebut.

"Ini yang sekarang menjadi isu, di mana kami percaya syarikat tersebut tidak menunaikan janjinya," katanya lagi.

Mohon injuksi mahkamah

Punithan juga mendakwa hasil daripada jualan Ladang Tumbuk di Sepang sebanyak RM28.4 juta dan syarikat Oriental Assurance (OCA) pada harga RM145.8 juta tidak diagihkan kepada pemegang sahamnya.

"Daripada RM174.2 juta hasilnya, sebanyak RM30 juta dibayar untuk menunaikan hutang Maika Holdings. Namun, baki RM144.2 juta hilang daripada akaunnya," jelasnya.

Sementara itu, Elango yang merupakan salah seorang plantif dalam kes ini, mengesahkan pihaknya telah memohon perintah injuksi pada 24 April lalu terhadap dua likuidator di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Pengurusan kes dijadualkan pada 2 Mei. Kesemua pihak termasuk defendan diperintah hadir ke mahkamah," kata Murali, peguam kepada tiga plantif tersebut.

Maika Holdings ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat pelaburan MIC yang berjaya mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 66,400 anggota masyarakat India, yang rata-ratanya golongan berpendapatan rendah.

Mereka dijanjikan keuntungan lumayan yang tidak pernah menjadi kenyataan.

Lihat Komen
ADS