Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar: Gaji siling mungkin buat CEO beralih arah

Cadangan agar ketua pegawai eksekutif (CEO) di Malaysia menerima gaji siling mungkin akan membuatkan mereka beralih arah kepada tawaran syarikat yang menguntungkan, kata seorang pakar ekonomi hari ini.

Pensyarah Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, oleh sebab itu pelaksanaan skim gaji tersebut dilihat lebih sesuai sekiranya melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Bagaimanapun, katanya perkara itu juga bakal menimbulkan keresahan dalam kalangan lembaga pengarah apabila CEO mereka kemungkinan berhijrah ke syarikat antarabangsa atau bukan GLC.

"Ini kerana mereka melihat nilai mereka (CEO) diletak pada kadar terlalu rendah berbanding apa yang diterima dengan bekerja di syarikat antarabangsa atau pun syarikat bukan milik kerajaan.

"Bahkan mereka juga akan berpandangan jika begitu keadaannya 'tidak mengapa saya berpindah ke negara lain di mana perkhidmatan saya lebih diperlukan'," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut DR Barjoyai, isu mengenai gaji CEO yang dilihat terlalu tinggi telah lama dibangkitkan sejak berpuluh tahun lalu, malah turut diperdebatkan di Amerika Syarikat.

"Sehingga kini tidak ada perubahan berlaku, kerana negara itu (Amerika) merupakan sebuah negara kapitalis, di mana pemegang saham berkuasa menentukan apa sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Anggota Jawatankuasa Himpunan 1 Mei 2019, S Arutchelvan bahawa sudah sampai masanya gaji yang dinikmati CEO di Malaysia dikenakan siling.


Baca: CEO perlu ada gaji siling - Arutchelvan


Menurut Arutchelvan, CEO di Malaysia menikmati gaji "terlampau tinggi" sehingga mencecah RM2,700 sejam, menyebabkan jurang pendapatan terlalu lebar dengan pekerja biasa.

Mengulas lanjut Barjoyai berkata cadangan tersebut boleh dilaksanakan dalam GLC sekiranya seseorang CEO itu sendiri bersedia melakukan perubahan minda.

Bahkan katanya perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri sebelum ini pernah mengesyorkan agar gaji eksekutif utama GLC dinilai semula berdasarkan sumbangan mereka.

"Maksudnya, bila dia (Mahathir) mengesyorkan gaji kepada CEO dan pengarah urusan dalam mesyuarat agung tahunan, mereka perlu melihat bukan nilai mereka di pasaran tetapi melihat berapa banyak sumbangan yang mereka boleh buat kepada syarikat dengan diukur dari aspek kesukarelawan.

"Maknanya, walaupun dia boleh dapat gaji RM75 juta setahun tetapi kerana dia merasakan RM1 juta atau RM2 juta pun sudah banyak untuk hidup mereka, mungkin mereka boleh buat keputusan mengorbankan potensi pendapatan dan selebihnya dianggap sebagai sumbangan wakaf kepada syarikat yang diuruskan," katanya.

'Korbankan gaji CEO untuk jihad ekonomi'

Barjoyai berkata situasi itu pernah berlaku apabila tokoh korporat, Abdul Wahid Omar melepaskan jawatan sebagai CEO sebuah bank terkemuka sebelum dilantik sebagai senator dan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Beliau mengorbankan gajinya sebagai CEO Maybank yang pada masa itu berpuluh juta (setahun) menjadi kepada puluh ribu sahaja setahun Itu yang dikatakan sebagai sumbangannya kepada negara.

"Mungkin juga kita perlu promosikan ini, di mana kita cuba tanam budaya ini supaya pemimpin dan CEO syarikat GLC berlumba-lumba mengorbankan keupayaan kewangan dalam bentuk gaji untuk mereka mengambil jumlah yang lebih kecil," katanya.

Tambah Barjoyai, pengorbananan seperti itu tidak mustahil dilakukan oleh CEO sesebuah GLC sekiranya memiliki iltizam yang kuat.

"Kepada CEO ini apabila ia dilantik menjadi CEO syarikat-syarikat di bawah Khazanah, Kumpulan Wang Amanah Pencen, Kumpulan Wang Angkatan Tentera ini, dia mesti melihat bahawa ini merupakan panggilan jihad.

"Ini jihad ekonomi, mereka yang telah dipilih, bukan dipilih oleh perdana menteri tetapi dipilih oleh Allah SWT, diuji untuk menyumbang kepada berjuta orang di seluruh negara.

"Jadi, kalau mereka boleh korbankan dengan tidak mengambil keseluruhan gaji mereka ini satu pengorbanan yang besar," tambahnya.

Lihat Komen
ADS