Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Indahnya berada dalam PAS...'
Diterbitkan:  Apr 29, 2019 3:33 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

PAS digambarkan salah seorang pemimpin kanannya sebagai sebuah kumpulan yang terpilih apabila pelbagai kebaikan yang pernah dinyatakan Rasulullah SAW ada pada parti tersebut.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata ada beberapa petanda diajarkan Nabi Muhammad mengenai sesuatu kaum yang diredai.

Ulama terkenal itu menjelaskan, apabila Allah mahu menjadikan sesuatu kaum itu baik, Dia akan mentakdirkan tiga perkara, iaitu:

  • Kaum itu dipimpin oleh hukama' (bijak pandai) dalam kalangan mereka
  • Dipandu ulama dalam kumpulan mereka
  • Dijadikal harta berada pada tangan orang yang dermawan dalam kalangan mereka.

"Indah sungguh berada dalam PAS.

"Semua kebaikan yang disebut oleh nabi ada di dalamnya. Syukur," kata bekas calon PAS untuk kawasan Padang Besar itu di media sosial beliau hari ini.

Menyertai hantaran tersebut potongan hadis Rasulullah dan dua keping gambar Presiden PAS Abdul Hadi Awang masing-masing sedang berdoa dan berehat dipercayai di rumah beliau di Marang, Terengganu.

Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas media menyiarkan laporan pengakuan bekas presiden Umno, Najib Razak, yang mengakui berpakat secara "senyap-senyap" dan pada waktu "malam" dengan Abdul Hadi semasa berbincang mengenai cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Dulu berputik, kini realiti

Cadangan meminda akta tersebut dibawa melalui usul persendirian oleh Abdul Hadi namun sehingga kerajaan BN dikalahkan PH pada PRU tahun lalu ia tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat.

Isu berkenaan juga menyebabkan berlaku perpecahan dalam PAS dan pada masa sama membawa parti itu dan Umno semakin erat di sebalik sejarah permusuhan selama beberapa puluh tahun.


Baca PAS rela jadi lilin membakar diri


Semalam media melaporkan Najib - yang kini dibicarakan atas tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa - mengakui 'penyatuan' PAS dan Umno sekarang adalah hasil dari usaha beliau dan Abdul Hadi.

Kata Najib usaha itu bermula ketika perbincangan isu Akta 355 dan perkara-perkara lain ketika beliau masih menjadi presiden Umno dan perdana menteri.

"Sebab saya telah usahakan senyap-senyap perkara ini selama ini dengan Tok Guru Hadi (Abdul Hadi) waktu malam dia datang bincang RUU355 dan perkara-perakra bersangkut paut kepentingan umat Islam.

"Hari ini saya rasa begitu bersyukur apa saya telah mulakan, berputik zaman saya, hari ini telah menjadi realiti," katanya. 

Melalui hantaran yang sama Mokhtar menjelaskan ada tiga tanda sesuatu kaum itu tidak mendapat rahmat Allah.

Katanya apabila Allah mahu sesuatu kaum itu menjadi jahat maka Dia mentakdirkan mereka dipimpin oleh orang bodoh, dipandu oleh orang yang jahil dan dan dijadikan harta berada pada tangan orang yang bakhil.

Lihat Komen
ADS