Bekas senator, Mohamad Ezam Mohd Nor menyatakan hasrat untuk mendaftarkan sebuah parti politik yang pernah diumumkannya lebih setahun lalu.
Katanya, keputusan itu diambil selepas menerima banyak saranan daripada rakan untuk kembali aktif berpolitik, khususnya dalam perjuangan melawan rasuah.
"Mereka percaya seperti juga saya, isu paling besar negara ini adalah rasuah dan kecurian khazanah negara oleh kelompok elit dan pembesar politik yang telah menelan berbilion-bilion harta negara dan umat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Ezam berkata pihaknya tidak bercadang menyertai mana-mana gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH) kerana 'mahu kekal bebas'.
"Kami tidak mahu terikat dengan percaturan kuasa dan fokus parti ini adalah untuk membawa isu rasuah dan kecurian khazanah negara sebagai isu utama negara.
"Buat masa ini kami ingin menyatakan sokongan dan memberikan dukungan padu kepada PM kerana usaha-usaha dan komitmen beliau dalam melawan perasuah-perasuah besar dan kelompok elit ini," katanya.
Untuk rekod, perjalanan politik Ezam bermula apabila bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim itu terlibat dalam gerakan reformasi pada 1998.
Bagaimanapun beliau kemudian meninggalkan PKR akibat krisis kepercayaan terhadap Anwar, sebelum menyertai Umno pada Mei 2008 dan dilantik sebagai senator.
Jawatan terakhirnya dalam kerajaan ialah sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan mulai 15 Mac 2014.
Pada Oktober 2016, Ezam memohon menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun dilaporkan meninggalkan parti itu tiga bulan kemudian.
Pada 17 Mac 2017, beliau mengumumkan penubuhan parti baru yang dinamakan Parti Bebas Rasuah yang mempunyai objektif untuk memerangi rasuah habis-habisan.
Dalam kenyataannya hari ini, Ezam berkata usaha mendaftarkan Parti Bebas Rasuah menemui jalan buntu, malah pihaknya 'dicemuh setiap malam di media utama kerajaan pada ketika itu'.
Tambah beliau, parti baru yang akan didaftarkan kali ini tidak akan menggunakan nama yang sama seperti sebelum ini.
"Kami berharap kerajaan baru akan bersikap lebih terbuka dan mengalu-alukan ikhtiar kami kali ini dan memudahkan proses kelulusan parti baru antirasuah ini," katanya.
Menurut Ezam, nama parti baru itu dan ahli jawatankuasa penajanya akan diumumkan apabila permohonan baru yang lengkap diserahkan secara rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam beberapa hari lagi.
