Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nama bekas Agong diguna dalam perjanjian tanah Melaka - Sime Darby
Diterbitkan:  Apr 30, 2019 1:11 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

Sime Darby Plantation Berhad mendakwa sebuah syarikat yang dikuasai Taiwan menamakan bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Istana Negara dalam usaha membeli tanah milik syarikat mereka di Melaka di bawah harga pasaran.

The Edge hari ini melaporkan bahawa perkara itu dinyatakan dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sime Darby di Mahkamah Tinggi di Melaka, semalam.

Dalam permohonan itu, Sime Darby memohon GI A Resources Sdn Bhd dihalang daripada membeli tanah 75ha di Merlimau, Melaka, melalui pengambilalihan wajib, dengan harga di bawah pasaran bernilai RM35.282 juta.

70 peratus daripada GI A Resources dilaporkan dimiliki oleh Xinzhongwei Capital Holdings Sdn Bhd, yang majoritinya dikuasai oleh Taiwan, manakala Sime Darby adalah milik majoriti oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd.

Kerajaan negeri Melaka, jabatan tanah dan galian negeri, dan pejabat tanah daerah Jasin juga dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Dalam satu afidavit oleh Ketua Unit Pengurusan Tanah Sime Darby, Mohd Razlan Mohd Rahim, dalam menyokong permohonan semakan kehakiman, mendakwa bahawa GI A Resources mewakili kepentingan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Antara sokongan dakwaan Sime Darby yang lain adalah bahawa GI A Resources, membekalkan surat bertarikh 12 Disember 2018, mendakwa bahawa perjanjian itu dibincangkan pada suatu mesyuarat dan baginda mahu tanah yang dipersoalkan itu. Ia juga melampirkan surat sokongan yang dikatakan mengunakan cop surat Istana Negara yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, bertarikh 4 April 2018, kepada kerajaan Melaka.

Razlan dilaporkan berkata bahawa sekiranya surat-surat tersebut terbukti sahih, tindakan itu akan menjadi pelanggaran kepada Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, kerana Istana Negara, sebuah institusi persekutuan, telah digunakan untuk campur tangan dalam hal ehwal negeri.

Beliau berkata bahawa tindakan pejabat tanah daerah Jasin untuk mengeluarkan surat bertarikh 19 Mac tahun ini untuk memiliki tanah itu adalah ultra vires kerana istana tidak boleh mengarahkan kerajaan negeri bertindak bertentangan dengan kepentingan awam.

Menurut The Edge, Sime Darby mendakwa ia memutuskan untuk memfailkan permohonan itu selepas rayuan bertulis menentang pengambilan wajib tanah berkenaan kepada Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berulang kali - 29 Oktober, 13 November dan 25 Mac tahun ini - tidak dijawab.

"Selain membatalkan pengambilalihan wajib, yang diwartakan oleh kerajaan negeri pada September lalu, Sime Darby juga menuntut ganti rugi yang akan ditentukan oleh mahkamah dan deklarasi, antara lain, Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak boleh disalahgunakan untuk mengambil alih Sime Darby,” lapor The Edge.

Lihat Komen
ADS