Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Islam tak letak Raja-Raja di atas undang-undang
Diterbitkan:  Apr 30, 2019 1:21 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam tulisannya yang disiarkan Harakahdaily hari ini mengingatkan bahawa Islam tidak pernah meletakkan seseorang raja atau ketua negara di atas undang-undang.

Abdul Hadi berkata Nabi Muhammad SAW yang dilantik menjadi Rasulullah sekali pun tidak berlagak seperti tuhan yang disembah sehingga menjadikan rakyat hamba abdi dan harta negara seperti milik peribadi.

"Banyak lagi bukti sejarah Islam meletakkan ketua negaranya sama ada yang bergelar raja, khalifah, imam atau amir tidak berkuasa mutlak dan berada di bawah kuasa undang-undang, menolak dengan tegas konsep adanya seseorang atau kumpulan yang mengatasi undang-undang negara," katanya.

Dalam tulisan itu, Abdul Hadi tidak menamakan atau merujuk kepada mana-mana pihak tertentu.

Tulisan itu hadir ketika situasi politik negara sedang menyaksikan perselisihan kerajaan pusat, khususnya membabitkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamd dengan golongan istana berhubung isu melibatkan konvensyen dan undang-undang antarabangsa.

Kata Abdul Hadi lagi, sekiranya seseorang raja tidak beriman dan budiman, konsep kedaulatan undang-undang yang dilaungkan hanyalah sekadar "cakap kosong".

"Ada pula raja yang berpaut dengan slogan yang disadurkan dengan agama, katanya 'Raja adalah bayangan Allah yang menaungi rakyat dengan bayangan Allah itu'.

"Maka ada pula yang berlagak seperti Tuhan yang disembah.

"...Semuanya cakap kosong, kalau tidak beriman dan budiman.

"Jadilah tujuannya mahu menetapkan kedudukan masing-masing tanpa peduli rakyat, bahkan rakyat dikastakan mengikut kuasa sewenang-wenang dan harta negeri atau negara dianggap miliknya," katanya.

Kata Abdul Hadi, Islam tidak mengharamkan dan menghalalkan perkataan monarki, republik, demokrasi dan pelbagai istilah lain yang tidak disebut di dalam al-Quran.

Tetapi, jelasnya, yang lebih diutamakan adalah menegakkan konsep keadilan dan menentang kezaliman.

"Semua yang memerintah walau apa nama dan gelarannya akan dipanggil mengadap Allah.

"Islam melaknat sekeras-kerasnya mereka yang berlagak kuasa seperti Tuhan yang Maha Tinggi terhadap rakyat dan harta negara sama ada seorang raja seperti Firaun atau seorang Perdana Menteri seperti Haman, atau kumpulan pemimpin yang dinamakan Al-Malaak walaupun di atas nama demokrasi, termasuk kumpulan agamawan para ulama’, paderi, sami dan sebagainya kalau menyalahgunakan kuasa di atas nama agama yang disebutkan teokrasi," katanya.

Dalam tulisan sama, Abdul Hadi berkata sebagai penganut Islam yang beriman, beliau menafsirkan Islam yang diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jiwa merdeka.

Maka, katanya, beliau tidak mempedulikan "kiblat rujukan penjajah".

"Wajib seorang Islam merungkai ikatan yang disimpulkan oleh penjajah bagi mengekang kuasa Islam dalam perlembagaan itu, bahkan kalau ada rantainya wajib diputuskan dan kalau ada tembok juga wajib dirobohkan.

"Tidakkah raja dan rakyat bersatu menentang penjajah, tanpa dinafikan adanya di kalangan raja dan rakyat yang khianat.

"Kalau masih ada saki baki pengkhianat warisan zaman penjajahan, maka mestilah dihapuskan," katanya.

Lihat Komen
ADS