Program Highly Immesive Programme (HIP) dan Dual Language Programme (DLP) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membantu merancakkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan pelajar.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) KPM Shaari Osman berkata bahasa Inggeris mula diberikan perhatian sejak beberapa tahun lepas oleh kementerian itu dalam menyediakan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global selepas menamatkan pengajian mereka.
"Apa yang kita buat setakat ini dengan dua program berkenaan ternyata telah memberikan hasil. DLP memberi peluang kepada sekolah untuk memilih mengajar subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
"HIP pula menyediakan ruang kepada murid dan pelajar untuk menguasai bahasa berkenaan dengan bantuan persekitaran seperti poster dan program pengucapan awam," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di Kuala Krai, hari ini.
Beliau berkata apa yang penting murid dan pelajar ini perlu membuang rasa malu dalam diri mereka untuk mempraktikkan bahasa Inggeris melalui pertuturan secara lisan agar dapat menguasai bahasa berkenaan.
Ditanya adakah kedua-dua program itu mendapat reaksi negatif daripada ibu bapa sebagaimana yang berlaku terhadap Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), beliau berkata ramai ibu bapa menyokong kedua-dua program berkenaan.
"Ibu bapa kini lebih memahami penguasaan bahasa Inggeris yang dapat membantu anak-anak mereka untuk bersaing dengan lebih baik di peringkat global.
"Kedua-dua program ini juga bukanlah satu dasar daripada KPM dan sekolah boleh memilih untuk menyertai ataupun tidak program berkenaan," katanya.
- Bernama
