Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Undang-undang tak selesai isu penahanan pendakwah - Syeikh Umar
Diterbitkan:  Apr 30, 2019 9:06 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

ULASAN | Berkaitan isu penahanan pendakwah bebas Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu yang bersabit dengan laporan polis berhubung kenyataan beliau yang dianggap menghina agama dan perbalahan antara Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam isu ini, saya rasakan adalah sesuatu yang harus dilihat secara lebih objektif dan penuh cermat.

Daripada sudut undang-undang, sememangnya setiap laporan polis yang dibuat perlu disiasat oleh pihak berkuasa bagi memastikan kesahihan setiap dakwaan itu. Kepercayaan ini harus diserahkan kepada pihak berkuasa iaitu polis.

Kita berharap, apa jua siasatan yang dilakukan, mestilah adil, dipatuhi dan mengikut lunas-lunas peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan kepada agensi terbabit.

Namun, hal seperti ini pastinya tidak akan berakhir di sini. Ia tidak akan selesai dengan siasatan atau pendakwaan dan hukuman. 

Dengan erti kata lain, menerusi proses undang-undang sahaja, isu-isu seperti ini tidak dapat diselesaikan dengan tuntas. Ia hanya sampai ke tahap, hukuman sama ada denda dan sebagainya.

Matlamat sama, bahasa berbeza

Isu sebenar di belakang perkara ini ialah, rasa ‘insecure’ (tidak terjamin) di kalangan rakyat atau mana-mana pihak. Persepsi ini bukan soal undang-undang. Ia soal kebijaksanaan kita mengurus persepsi agar rasa tidak senang ini dapat dihapuskan.

Saya memahami ‘keresahan’ mufti Perlis, persepsi rakyat dan juga pandangan Dr Mahathir mengenainya. 

Bagi saya, kita sedang bercakap dalam frekuensi bahasa yang sedikit berbeza tetapi matlamat sebenarnya adalah sama iaitu memastikan seluruh rakyat dapat menjalani kehidupan beragama dengan harmoni dan tenang.

Saya mahu merujuk kepada cadangan beberapa pihak sebelum ini seperti Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malek dan juga Menteri di JPM Dr Mujahid Yusuf Rawa mengenai pentingnya dialog antara agama diadakan dan disuburkan di Malaysia.

Saya berpendapat, dengan justifikasi-justifikasi yang diberikan dalam cadangan itu, perkara-perkara seperti isu ini dapat dirunding dan diselesaikan menerusi cadangan ini.

Platform atau ‘avenue’ untuk pihak-pihak yang terlibat duduk berbincang tentang isu-isu perbezaan dalam mengamalkan kepercayaan masing-masing, perlu wujud dan aktif. 

Dengan kaedah ini sahaja, rakyat akan memahami isu-isu dengan lebih waras dan objektif.

Islam itu Rahmatan Lil ‘Alamin, dan saya lebih menyukai pendekatan yang lebih objektif untuk mengelak dan menjauhkan masyarakat daripada terus berdepan dengan perkara seumpama ini dimasa hadapan.

Persoalan agama dalam negara demokrasi yang pelbagai ragam seperti Malaysia ini adalah persoalan bagaimana kita mampu mengurus perbezaan dengan penuh bijaksana dan hikmah.

Umumnya, pastilah mana-mana agama tidak menjurus ke arah menyemai benih kebencian, apatah lagi Islam – agama rahmat buat sekalian alam.

Saya berharap, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu akan mendapat ruang keadilan yang cukup daripada siasatan ini. Dan pastinya, saya menyeru kepada semua rakyat agar bertenang dan terus istiqamah dalam menjaga nilai-nilai kesucian agama Islam dan keharmonian beragama di Malaysia.

Insya Allah, Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim) akan terus komited dan istiqamah dalam menyemai benih-benih keharmonian Islam buat semua.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim merangkap Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kerajaan Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS