Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kajian: 54 peratus setuju rusuhan kuil cetuskan perpecahan
Diterbitkan:  Apr 30, 2019 9:25 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Perpecahan membabitkan hubungan kaum di negara ini semakin ketara selepas insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada November tahun lalu.

Ia berdasarkan maklum balas yang diperoleh Institut Kajian Strategik Malaysia (Myriss) daripada 240 responden membabitkan sekumpulan pelajar universiti.

Daripada kaji selidik yang dijalankan, 53.9 peratus setuju insiden berkenaan mencetuskan perpecahan, manakala 26.1 responden tidak pasti dan 19.9 peratus mengatakan tidak.

"Insiden Kuil Seafield juga mengakibatkan perpecahan dalam masyarakat, timbulnya rasa kurang selesa dan pelbagai persepsi negatif dalam masyarakat. 53.9 bersetuju tragedi ini mewujudkan kecurigaan dan perpecahan dalam masyarakat," jelasnya.

Pada 27 Nov lalu, Muhammad Adib Mohd Kassim yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis tahun lepas di Institut Jantung Negara (IJN) selepas lebih tiga minggu dirawat.

57 peratus mahu ketuanan Melayu kekal

Sementara itu, tinjauan Myriss mendapati 23.7 peratus bersetuju bahawa politik berasaskan perkauman tidak lagi sesuai di negara ini ketika ditanya mengenai faktor ketuanan Melayu.

"Akan tetapi 57.7 peratus merasakan ketuanan Melayu perlu dikekalkan, tetapi harus dilihat kembali kepada latar belakang responden, ia mempengaruhi hasil kajian," kata laporan itu.

Kajian yang dijalankan Myriss itu juga menunjukkan 63.2 peratus responden setuju ketegangan kaum menjadi senjata politik kumpulan tertentu.

Sementara itu, Pengarah Myriss, Dr Mohd Mizan Aslam, berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy bahawa hubungan antara entik semakin baik di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus diperhalusi.

"Hubungan kaum di Malaysia berada pada tahap yang merbahaya jika dilihat dengan trend yang berlaku pada hari ini. Iaitu apabila isu agama dan etnik dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk meraih keuntungan politik.

"Oleh itu, pemimpin PH perlu bertindak sebagai kerajaan, elakkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat. Bezakan peranan kita sebagai kerajaan yang memerintah dan bukannya pembangkang," jelas Mohd Mizan.

Waytha pada 24 April lalu dilaporkan berkata hubungan antara kaum menjadi semakin baik selepas beliau menjadi menteri yang menjaga perpaduan nasional.

Lihat Komen
ADS