PRK SANDAKAN l DAP hari ini mengemukakan surat kelulusan dan resit bagi penyewaan kerusi dari Majlis Bandaraya Sandakan (MPS) selepas bekas perdana menteri Najib Razak menjadikan perkara itu sebagai isu.
"Walaupun saya telah mengeluarkan kenyataan akhbar bahawa kami menyewa kerusi dari MPS mengikut prosedur yang sepatutnya, Najib masih tidak mempercayainya dan mencabar kami (mengemukakann) surat kelulusan dan resit (untuk sewaan kerusi).
"Jadi hari ini saya mahu menunjukkan surat kelulusan dan resit itu.
"Jika dia tidak dapat membuktikan bahawa DAP melakukan kesalahan pilihan raya, saya gesanya untuk menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kerana membuat tuduhan berniat jahat terhadap DAP," kata setiausaha publisiti DAP Sabah, Phoong Jin Zhe pada sidang akhbar di Sandakan hari ini.
Beliau kemudian memaparkan surat kelulusan yang tertera kepala surat MPS, resit dan baucar pembayaran yang semuanya bertarikh 29 April.
Phoong berkata apa yang ditimbulkan itu sebenarnya merupakan isu kecil dan dia tidak faham mengapa seorang bekas perdana menteri akan terus membangkitkan perkara itu.
"Dia adalah bekas perdana menteri, dia semesti mempunyai integriti. Jangan buat tuduhan seperti ini dan bermain politik," katanya.
Najib pada pagi semalam memuat naik gambar di laman Facebooknya yang menunjukkan kerusi dengan tanda 'MPS' digunakan pada ceramah DAP semasa kempen pilihan raya kecil Sandakan yang sedang berlangsung.
“Aset Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) disalahgunakan di ceramah DAP untuk PRK Sandakan?
“Tak apa. Ini negara mereka punya. DAP boleh buat apa yang mereka mahu. Kerana DAP tahu SPR tidak akan ambil sebarang tindakan,” katanya.

