Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Asri tak boleh kata 'Islam terancam' bawah PH - Mujahid

ULASAN | Saya mengenali Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) sebagai seorang sahabat lama, semasa berjuang dalam Parti Islam SeMalaysia (PAS), agenda reformasi yang saya usahakan banyak disokong beliau.

Kami sering bertukar pandangan tentang isu Islam kontemporari, Dr Maza punya pandangan yang progresif terkhusus dalam bidang kemasyarakatan dan politik Islam semasa.

Beliau pernah mengulas buku yang ditulis saya 'Menuju PAS baru' dan kami pernah pernah dijemput berforum bersama di Doha dan Dubai, selain beliau sangat menyokong usaha dialog antara penganut agama.

Semasa saya menggerakkan usaha dialog dengan pihak gereja atas isu kalimah Allah, Dr Maza banyak memberi dorongan dan sokongan demi kejayaan ini.

Perkara yang menonjol dalam peribadi Dr Maza ialah beliau seorang yang memilih jalan kedamaian. 

Ini dibuktikan kesanggupan dan kesediaan beliau mencari penyelesaian damai dalam pertikaian dengan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy dalam isu pendakwah Zakir Naik. 

Saya berusaha untuk mendamaikan kedua belah pihak dan keduanya bersetuju untuk bertemu bagi mencari jalan perdamaian.

Saya selalu menyatakan, jika rakyat Malaysia mahu melihat contoh jalan rundingan dan kedamaian, maka mereka berdua adalah contoh ideal yang patut dicontohi.

Saya yakin Dr Maza menegur kerajaan PH tentang kedudukan Islam dikatakan terancam bawah pemerintahan PH adalah berniat murni.

Saya juga yakin status Facebooknya yang ingin mendapatkan pandangan orang ramai mungkin untuk menilai prestasi kerajaan baru selama setahun ini.

Walaupun demikian sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, kenyataan itu bagi saya agak mengelirukan.

Persoalan asas adalah berkisar tentang isu laporan polis dari orang awam terhadap saudara Zamri Vinoth (gambar) yang dikatakan 'menghina' agama hindu.

Adakah hanya dengan satu peristiwa ini menyebabkan satu hukum umum dirumuskan seperti menyatakan Islam terancam di bawah PH?

Bukankah saudara Zamri Vinoth ditahan untuk membantu siasatan? 

Lagipun belum ada sebarang pertuduhan di mahkamah untuk mendakwa saudara Zamri.

Kenapa sesuatu yang masih belum dipastikan menjadi asas penilaian bahawa Islam di Malaysia ketika pentadbiran PH terancam?

Pastikan Islam terbela

Kami juga ingin tegaskan komitmen Kerajaan PH selama setahun ini memastikan Islam terbela dan dimartabatkan melalui beberapa tindakan:

  • Memperkenalkan gagasan Rahmatan Lil Alamin
  • Melaksanakan reformasi institusi dan agensi agama.
  • Menonjolkan konsep Masjid Rahmah.
  • Memulihkan Tabung Haji dengan komitmen sebanyak RM 17.8 billion daripada kerajaan PH.
  • Muzakarah ulama dan cendekiawan Islam diadakan setiap dua bulan sekali membincangkan isu-isu semasa melibatkan permasalahan umat Islam di Malaysia.
  • Memperkenalkan “Maqasid based governance” (urus tadbir berasaskan Maqasid) kepada enam kementerian lain.
  • Mengadakan sesi “Town Hall Maqasid" ke seluruh negara
  • Menambah peruntukan bajet pentadbiran Islam kepada RM1.2 billion dan bajet tambahan kepada institusi Tahfiz sebanyak RM50 juta serta Institusi Pondok sebanyak RM25 juta.
  • Menyelaras pentadbiran Hal Ehwal Islam dengan memperkenalkan tujuh kluster bagi memudahkan urusan pentadbiran untuk tujuan kemudahan dan maslahah rakyat
  • Melaksanakan program Jelajah rahmah kampus di empat buah kampus bagi memperkenalkan gagasan Rahmatan Lil Alamin.

Ketika memberi respon terhadap kenyataan "pekak" oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sahabat saya Dr Maza menyatakan sebenarnya kerajaan PH yang tidak mendengar cadangannya untuk menggerakkan dialog antara agama bagi menyelesaikan masalah ketegangan antara agama kebelakangan ini.

Mufti Perlis turut merujuk kepada kenyataan awal saya semasa usaha damai antara beliau dan Dr Ramasamy, bahawa perlu ada dialog antara agama dalam menangani permasalahan antara agama di Malaysia.

Saya memang memberi komitmen dan telah menghidupkan #solidarity4peace melalui platform Jawatankuasa mempromosikan persefahaman dan keharmonian di antara penganut agama (JKMPKA) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Usaha ini dimulakan bertitik tolak daripada hasrat murni Dr Maza. 

Platform ini telah menggerakkan pelbagai agama di Malaysia untuk menyatakan sokongan padu atas Deklarasi Kuala Lumpur 2019 dalam perhimpunan yang kami adakan.

Peristiwa Christchurch dan Sri Lanka telah berjaya menghimpunkan kami untuk lebih tegas dalam memastikan hubungan damai antara agama di Malaysia seperti yang dihasratkan dalam pertemuan enam mata antara saya, Dr Maza dan Dr Ramasamy pada tahun 2018.

Diharapkan dengan adanya platform ini, saya sebagai pengerusi bersama Menteri Perpaduan P Waytha Moorthy dapat menjalankan pelbagai program pada tahun ini seperti mana yang telah dirancang. 

Pastinya antara lain program yang telah dirancang ialah dialog antara agama.

Alhamdulillah kerajaan PH mengambil pandangan bahawa kehidupan antara agama mesti di atas kedamaian dan bukannya kebencian serta memandang rendah agama lain. 

Saya ingin ucapkan terima kasih Dr Maza dari lubuk hati saya kerana sudi mengkritik kami dan saya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bertanggungjawab menjelaskan keadaan secara objektif.


DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam).

Lihat Komen
ADS