Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saksi: Proses kelulusan pinjaman RM4b KWAP pada SRC luar biasa

KES NAJIB | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah melakukan proses luar biasa dalam mengendalikan permohonan pinjaman berbilion ringgit daripada SRC International Sdn Bhd.

Bekas pegawai KWAP Amirul Imran Ahmat dalam keterangannya berkata pengurusan tabung persaraan itu mempertimbangkan permohonan SRC International tanpa sebarang dokumen sokongan daripadanya.

Amirul merupakan saksi ke-29 pendakwaan dalam kes perbicaraan Najib Razak yang didakwa menyalahgunakan dana SRC International.

Beliau berkata ia bermula apabila KWAP menerima permohonan pinjaman RM3.95 bilion dari SRC International.

Permohonan itu diterima menerusi surat bertarikh 3 Jun 2011 yang ditandatangani oleh Pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Menurut Amirul, surat itu juga mempunyai nota tulisan tangan oleh perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu Najib Razak yang mengatakan "Bersetuju dengan cadangan ini".

Cadangan itu turut disertai dengan tandatangan Najib.

Amirul, yang ketika itu menjadi naib presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, berkata beliau kemudian menghantar permintaan kepada Nik Faisal Ariff untuk menyediakan dokumen yang diperlukan untuk memudahkan proses itu.

Antara dokumen yang diminta oleh KWAP ialah akaun 1MDB yang telah diaudit sejak penubuhannya, profil syarikat, dan akaun pengurusan terkini yang sedia ada.

Menurut keterangannya, satu siri perbualan e-mel kemudiannya berlaku di antara beliau, Ahmad Norhisham Hassan (allahyarham), Nik Faisal Ariff dan pembantunya Noor Azlina atas permintaan KWAP untuk dokumen berkenaan.

E-mel itu juga termasuk permintaan lanjut untuk memperoleh lebih banyak dokumen mengenai SRC International dan 1MDB.

Dokumen-dokumen itu, bagaimanapun, tidak pernah diterima walaupun janji dibuat oleh Noor Azlina dan Nik Faisal Ariff sendiri untuk menyampaikannya kepada KWAP.

Amirul berkata beliau menghantar e-mel lain pada 30 Jun 2011 berjudul 'FW: SRC International Sdn Bhd - Cadangan Pembiayaan sebanyak RM3.95 bilion' kepada Nik Faisal Ariff Kamil dan dilampirkan kepada Ahmad Norhisham.

Isi kandungannya e-mel itu termasuk: "Bagaimanapun, kami akan menghargai jika anda dapat membantu untuk menyediakan kami maklumat / dokumen berikut, pada hari ini, yang merupakan sebahagian daripada senarai maklumat yang diminta sebelum ini".

Beliau berkata e-mel itu juga meminta butiran menyeluruh mengenai pelaburan sedia ada oleh 1MDB, termasuk butiran lengkap semua projek termasuk Bandar Malaysia dan Kuala Lumpur Financial District (KLFID).

Bagaimanapun, pada keesokan harinya, Amirul menerima jawapan daripada Nik Faisal Ariff, di mana pengarah SRC mengatakan bahawa syarikat itu tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut yang diminta oleh KWAP.

Nik Faisal Ariff menyatakan bahawa pendedahan maklumat terperinci tertakluk kepada kelulusan oleh pengerusi lembaga penasihat SRC International, dan perdana menteri, yang mana mereka tidak mendapat kelulusan mereka.

Najib merupakan pengerusi penasihat 1MDB pada masa itu.

"Selepas menerima jawapan, saya diarahkan oleh Ahmad Norhisham untuk menyediakan kertas cadangan untuk mencadangkan kepada Panel Pelaburan KWAP untuk meluluskan pinjaman RM1 bilion kepada SRC.

"Berdasarkan maklumat di tangan, yang merupakan profil syarikat 1MDB dan penyata kewangan 1MDB, saya telah menyediakan Kertas Pelaburan nombor 8/6/2011 untuk permohonan pinjaman oleh SRC.

"Biasanya, sebarang permohonan untuk pinjaman kewangan memerlukan lebih banyak dokumen tambahan, tetapi dalam kes ini, tidak ada dokumen yang diterima oleh KWAP," kata Amirul kepada mahkamah.

CEO KWAP arah sediakan dokumen cadangan

Bagaimanapun, saksi berkata, panel pelaburan dalam mesyuarat pada 5 Julai 2011 memutuskan untuk menangguhkan keputusan mereka mengenai permohonan pinjaman SRC sehingga mereka mendapatkan maklumat lanjut dari SRC.

Menurut Amirul, Ahmad Norhisham telah memaklumkan kepada beliau bahawa Ketua Pegawai Eksekutif KWAP (Azian Mohd Noh) telah mengarahkan Ahmad Norhisham untuk menyediakan cadangan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International.

Beliau memberi keterangan bahawa satu lagi mesyuarat oleh panel pada 19 Julai 2011 telah meluluskan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International, dengan syarat pinjaman itu dijamin oleh kerajaan, atau dinamakan kerajaan sebagai pemiutang.

KWAP kemudiannya menerima permohonan pinjaman lain dari SRC International pada bulan depannya (Ogos 2011), di mana syarikat itu meminta pinjaman langsung yang menyatakan bahawa ia adalah anak syarikat penuh 1MDB dan pinjaman tersebut akan berdasarkan jaminan kerajaan.

Amirul memberi keterangan bahawa pinjaman kedua telah diluluskan pada tahun 2012, menjadikan jumlah wang yang dipinjamkan kepada SRC International oleh KWAP kepada RM4 bilion.

Saksi ke-29 pendakwaan dijangka meneruskan kesaksiannya, dengan membaca pernyataan saksi semasa pemeriksaan utama, pada Isnin depan.

Lihat Komen
ADS