Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid bimbang pihak perguna agama dan pentaasub kaum bergabung

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof menyuarakan kebimbangan terhadap gabungan dua parti yang digelarnya sebagai pentaksub kaum dan pihak mempergunakan agama.

“Kedua-dua parti, (satu) yang dahulunya terkenal dengan memperjuangkan ketaksuban kaum - bukan semua tapi ada unsur tersebut, dan satu lagi kelompok yang mempergunakan agama.

“Bayangkan kedua-dua ini digabungkan dalam satu kerjasama politik. Yang ini yang kita bimbangi akan menjejaskan lagi usaha untuk kembalikan kesepaduan dalam negara ini. 

"Ini satu cabaran paling besar,” katanya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini pada Isnin.

Biarpun tidak menyebut secara spesifik, Mujahid dipercayai merujuk kepada kerjasama politik antara PAS dan Umno yang terjalin erat selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Penyokong PAS dan BN

Beliau menjawab soalan tentang mentaliti rakyat yang sensitif terhadap faedah dinikmati kaum lain.

Kerjasama terbuka Umno-PAS bermula sejak pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands dan diteruskan untuk PRK Semenyih dan Rantau, menyaksikan kejayaan hatrik BN.

Kedua-dua parti itu sering membangkitkan isu keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam yang terancam dalam kempen-kempen PRK.

Mengakui mentaliti itu sebagai cabaran besar, katanya, ia tidak boleh diubah dalam tempoh seorang menteri memegang jawatan, malah mungkin akan mengambil masa selama satu generasi untuk mengubahnya.

Kebangkitan golongan radikal

Malah tambah Mujahid, kebangkitan golongan radikal dalam hal agama dan kaum sejak beberapa puluh tahun kebelakangan ini hanya menyebabkan hubungan antara kaum di negara ini semakin terjejas.

“Diburukkan lagi, ada kelompok-kelompok tertentu yang (melakukannya) atas kepentingan politik, bukannya kerana dia hendak perjuangkan sangat tentang idea ini (radikalisme kaum atau agama).

“Atas satu keperluan politik, untuk survive (terus hidup).

“Di Malaysia, inilah dia satu masalah besar, satu-satu parti politik itu, apabila dia dah tersangkut, maka yang menjadi ‘kad terakhir’ ialah kaum dan agama,” katanya lagi.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Belanda

Mengambil contoh tentang bangkangan sesetengah pihak terhadap isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) dan juga Statut Rom, menurut Mujahid, hujah yang digunakan oleh mereka berbunyi senada.

“Kita boleh tengoklah, bila timbul isu Icerd, wah, jadi satu benda besar dalam negara. Timbul Statut Rom, juga, hujah itu saja: agama terjejas, bangsa terjejas, bangsa terjejas.

“Ini tak termasuk suara-suara yang sebelum ini kita dengar, (yang mengatakan) ‘bahaya, orang Cina nak kuasai negara kita’.

“Jadi, konsep satu kerakyatan yang menggambarkan kita seluruhnya adalah rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, mudah untuk disebut, tapi di peringkat bawahan, masih tetap menjadi hambatan bagi menjayakan (supaya) benar-benar Malaysia ini bebas daripada perkauman dan prejudis,” katanya lagi.

Presiden PAS dan ribuan perserta demo anti-Icerd pada Disember tahun lalu.

Icerd mula mendapat tentangan hebat selepas menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytamoorthy pada 24 Oktober tahun lalu dilaporkan berkata kerajaan komited meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Icerd dalam persidangan Malaysia ke arah ratifikasi Icerd.

Bagaimanapun, sebelum itu, beberapa menteri dan perdana menteri telah menyatakan komitmen kerajaan dalam meratifikasi konvensyen antarabangsa memandangkan perkara itu terdapat dalam Janji 26 manifesto PH pada PRU-14, yang menyatakan untuk “menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi yang dihormati dunia”.

Antara yang paling awal mempersoalkan Icerd ialah Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin, pada 15 Oktober tahun lepas menimbulkan kesan Icerd terhadap hak keistimewaan bumiputera bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan tentangan hebat daripada sebahagian rakyat, kerajaan melalui Pejabat Perdana Menteri mengumumkan tidak akan meratifikasi Icerd pada 24 Nov 2018. 

Sementara itu, tentangan hebat terhadap Statut Rom pula timbul selepas kerajaan mengumumkan Malaysia menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 4 Mac.

Antara yang menyuarakan tentangan ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah bahawa tindakan untuk meratifikasi Icerd dan Statut Rom melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana menyentuh kuasa raja-raja dan keistimewaan orang Melayu serta kemuliaan agama Islam.

Statut Rom adalah triti rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf ICC sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Antara kebimbangan yang dibangkitkan penentang ialah Statut Rom akan memberi kesan kepada kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Pada 5 April, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan rakyat.

Lihat Komen
ADS