story image
mk-logo
Berita
Zahid gagal dapatkan semula pasport untuk tunai umrah

Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi gagal dalam usahanya untuk mendapatkan semula pasportnya yang ditahan bagi melaksanakan umrah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu kerana keseriusan beberapa pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid.

Selain itu mahkamah juga mendapati bahawa ibadah umrah tidak wajib ke atas seseorang Muslim.

Sebelum ini, Zahid memohon mahkamah memulangkan pasportnya untuk melaksanakan umrah pada Januari lalu tetapi kemudian menarik balik permohonan itu.

Beliau menghadapi 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan rasuah.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah (CBT) dan rasuah, supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk beliau mengerjakan umrah.

Selepas mendengar penghujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata sungguhpun mengerjakan umrah sangat digalakkan semasa Ramadan namun ia bukanlah wajib.

“Dalam pemahaman saya, tiada keperluan mendesak dan tiada kewajipan bagi pemohon (Ahmad Zahid) untuk mengerjakan umrah. Sungguhpun pemohon telah mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas, keadaan yang berlaku sekarang sangat berbeza memandangkan beliau kini menghadapi pertuduhan yang pelbagai dan serius. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa anak guamnya perlu pergi ke Arab Saudi antara 9 Mei dan 3 Jun ini untuk mengerjakan umrah.

Hisyam berkata anak guamnya tidak mempunyai niat lain kerana beliau adalah seorang anggota parlimen dan keluarganya juga tinggal di negara ini.

"Beliau akan kembalikan pasport itu kepada mahkamah pada hari berikutnya selepas beliau pulang ke negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid turut hadir di mahkamah.

Seorang lagi peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata anak guamnya tidak pernah gagal untuk mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas terutamanya dalam bulan Ramadan.

Hakim Sequerah: Jadi, adakah kamu mengatakan ia wajib?

Ahmad Zaidi: Tidak… tapi sangat dituntut dalam Islam. Beliau tidak pernah gagal mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi membantah permohonan itu dengan mengatakan bukanlah keperluan mendesak bagi pemohon untuk mengerjakan umrah memandangkan pertuduhan yang dihadapinya sangat serius.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 18, 20, 21, 22 Nov dan 2, 3, 4, 5, 6, 9, 10, 11, 12,13 Dis untuk perbicaraan.

Pada 22 Mac, Hakim Sequerah menetapkan 18 hari untuk perbicaraan dari 8 Julai hingga 12 Sept.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan telah dilapangkan untuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, yang dijadual bermula dari 19 Ogos hingga dua minggu pertama November.

Pada 19 Okt dan 14 Dis tahun lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap sejumlah 46 pertuduhan, terdiri daripada 11 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berjuta-juta ringgit kepunyaan Yayasan Akalbudi.

Pada 20 Feb tahun ini, beliau didakwa atas satu lagi pertuduhan CBT membabitkan RM260,000 milik Yayasan Akalbudi. Setakat ini, beliau berdepan sejumlah 47 pertuduhan.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen (0)
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS