Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

DAP akan terus berkhidmat kepada rakyat selaku anggota PH selain menegaskan tiada parti yang boleh bergerak sendirian bagi mentadbir Malaysia, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha agung DAP itu berkata kejayaan hasil kerjasama dengan parti lain dapat dibuktikan dengan kemampuan pertama parti itu menawan lima kerajaan negeri melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang diadakan pada 2008.

Ketika itu katanya kerjasama dibuat melalui gabungan Pakatan Rakyat.

"DAP berhasrat menjadi rakan kongsi yang berkuasa bukan untuk kuasa, bukan untuk wang, bukan untuk kepuasan diri, tetapi untuk Malaysia yang lebih baik yang kita semua boleh banggakan.

"DAP sangat jelas bahawa kita hanya akan berkuasa melalui pembentukan gabungan (beberapa parti) dan seterusnya menjadi rakan kongsi bertanggungjawab.

"Tiada parti boleh memerintah sendirian di Malaysia," tegas anggota parlimen Bagan itu lagi.

Lim berkata demikian pada ucapan sempena Persidangan Kebangsaan DAP 2019 di Shah Alam, Selangor hari ini.

Seramai 969 perwakilan menghadiri persidangan berkenaan.

Dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, DAP bekerjasama dengan PAS dan Lim hari ini memberikan penghargaan kepada bekas mursyidul AM parti itu, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat sebagai pemimpin yang adil dan bersikap sederhana.

Lim berkata, bekas menteri besar Kelantan itu menerima orang bukan Islam dan bukan Melayu dengan baik, tidak seperti segelintir pemimpin hari ini yang didakwanya mengamalkan politik "perkauman dan ekstrem".

"Ketika beliau (Nik Aziz) bersama-sama kita dalam Pakatan Rakyat, beliau menentang pihak ekstrem dan perkauman, yang cuba memusnahkan Pakatan Rakyat. Kerana Nik Aziz Pakatan Rakyat terus ada (ketika itu), dan kemudian melalui Pakatan Harapan, kita menang di peringkat persekutuan.

"Jadi kita juga perlu ingat sumbangan oleh seorang yang memiliki pandangan politik yang sederhana, yang dapat menerima bukan saja bukan Islam tetapi bukan Melayu. Tidak seperti sekarang, mereka hanya bermain politik perkauman dan ekstrem," katanya.

"Jadi kita perlu mengucapkan tahniah kepada Nik Aziz, dan dengan legasinya, Mat Sabu dan kawan-kawan kita yang membuat pengorbanan besar meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah, walaupun sering diserang," katanya.

Mat Sabu yang merupakan presiden Amanah antara pemimpin PH yang hadir di persidangan itu.

Meninggal dunia pada Februari 2015, Allahyarham Nik Aziz sering dikatakan sebagai salah satu punca penyatuan dalam Pakatan Rakyat, yang mengendurkan perbezaan antara PAS dan DAP.

Beliau juga dikenali dengan pendiriannya yang menentang sebarang kerjasama rasmi antara PAS dan Umno.

Lihat Komen
ADS